Pandemik Jejaskan Kadar Inflasi Negara?

159

Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia menurun 1.5% tahun ke tahun kepada 120.2 pada Oktober tahun ini daripada 122.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin seperti dipetik oleh Bernama sebagai berkata, penurunan IHP keseluruhan ini telah dipengaruhi oleh penurunan indeks pengangkutan (-10.2%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (- 3.0%) dan pakaian dan kasut (-0.4%) yang menyumbang 41.6% daripada keseluruhan wajaran.

“Daripada 552 item yang diliputi dalam IHP, 337 item menunjukkan peningkatan pada Oktober tahun ini berbanding Oktober tahun lalu. Sebaliknya, 150 item mencatatkan penurunan manakala 65 item tidak berubah.

“Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 208 item, 73 item menurun dan 15 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama,” katanya.

Bagaimanapun, makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.5% kepada 135.3 berbanding 133.3 pada bulan yang sama pada tahun lalu.

Kumpulan ini menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP. Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.8%, diikuti pendidikan (0.7%) dan minuman alkohol dan tembakau (0.5%).

Tambah Mohd Uzir, IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.1% pada bulan lalu berbanding Oktober tahun sebelumnya. IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

“Purata harga petrol tanpa plumbum RON95 menunjukkan penurunan pada bulan lalu iaitu RM1.67 per liter berbanding RM2.08 pada Oktober tahun sebelumnya.

“Di samping itu, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 menurun kepada RM1.97 per liter berbanding RM2.66 dan purata harga diesel menurun kepada RM1.72 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata indeks teras meningkat 0.8 peratus pada Oktober tahun ini berbanding bulan yang sama pada tahun lalu.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.8%), makanan dan minuman bukan alkohol (1.3%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.9%) dan pendidikan (0.7%).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal, katanya.

Sementara itu Mohd Uzir berkata IHP bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini turun 1.0% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Penurunan ini dipengaruhi oleh pengangkutan (-10.0%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-1.5%) dan pakaian dan kasut (-0.8%).

“Walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 0.1% berbanding September 2020. Peningkatan ini telah disumbangkan oleh makanan dan minuman bukan alkohol (0.1%), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.1%) dan kesihatan (0.1%),” ujarnya lagi.

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.8 hingga -2.3% bagi Oktober tahun ini berbanding Oktober tahun lalu. Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Melaka (-2.3%), Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.3%) dan Kedah dan Perlis (-2.3%). Ini diikuti Sarawak (-2.1%), Johor (-2.1%) dan Negeri Sembilan (-2.0%).

Bagaimanapun, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Putrajaya (2.4%), diikuti Pahang (1.8%), Terengganu (1.7%), Perak (1.7%) dan Negeri Sembilan (1.6%).

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat