Parlimen UK Tidak Benarkan Undian Brexit Lagi, USD Pula Semakin Tertekan Menjelang Mesyuarat FOMC

509

Matawang Pound Sterling pada dagangan Isnin semalam mula diniagakan menurun selepas jurucakap Parlimen Britain memberitahu Perdana Menteri Britain Theresa May bahawa tiada lagi undian untuk perjanjian Brexit melainkan pelan perjanjian yang berbeza dibentangkan.

Susulan kenyataan jurucakap Perlimen tersebut, Pound telah mula menunjukkan penurunan berikutan pelabur melihat peluang semakin tipis untuk PM May mendapatkan kelulusan perjanjian Brexit bersama Kesatuan Eropah sebelum pengunduran Britain pada 29 Mac ini.

Namun begitu, ada juga penganalisis pasaran yang berpendapat bahawa GBP berkemungkinan akan menikmati kenaikan lagi pada minggu ini. Ini adalah disebabkan susulan daripada kenyataan jurucakap Parlimen itu akan membuka peluang untuk penangguhan Brexit. Tempoh masa yang dilanjutkan sekaligus akan memberi ruang untuk Sterling kembali mengukuh dalam pasaran.

Bank of England (BOE) pada minggu ini dijangka akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah dalam mesyuarat polisi yang akan diadakan pada Khamis nanti ekoran terkesan oleh ketidaktentuan pada isu Brexit semasa.

Matawang dolar AS pula pada dagangan Selasa semakin tertekan dibebani oleh kebimbangan terhadap jangkaan Federal Reserve yang akan beralih kepada dasar monetari yang lebih longgar pada mesyuarat FOMC minggu ini berikutan faktor pertumbuhan ekonomi global yang perlahan.

Kebanyakkan pelabur menjangkakan FED yang telah menaikkan kadar faedah sebanyak empat kali pada tahun lalu bakal mengekalkan kadar faedah pada kali ini dan masih berpegang kepada pendekatan “bersabar” dalam dasar monetari mereka.

Sementara USD terus berisiko, matawang utama lain mendapat peluang untuk mengukuhkan nilai dagangan masing-masing. Turut sama berlaku pada Yen, dagangan Yen berbanding USD melihatkan matawang safe-haven tersebut telah mencatatkan pengukuhan untuk tiga sesi berturut-turut.

Euro pula masih didagangkan tidak begitu stabil dengan ketiadaan faktor yang jelas untuk mempengaruhi kecenderungan arah pergerakan matawang tersebut. Pelabur akan memberi perhatian pada indeks ekonomi di Jerman tinjauan ZEW untuk Mac untuk pasaran menilai tahap kesihatan ekonomi mereka.

Ekonomi Jerman sebagai ekonomi terbesar di zon Eropah berdepan risiko kegawatan pada suku tahun terakhir tahun lalu memberi impak negatif terhadap dagangan global di samping isu Brexit yang terus berlanjutan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat