Pasaran Cacamarba! Pelabur Ambil Langkah Tunggu & Lihat

444

Pergerakan pasaran kewangan pada Rabu semalam masih dilihat bercampur-campur dengan arah harga pada carta-carta utama sukar dikenal pasti dengan jelas oleh para pelabur.

US dolar didagangkan lemah berbanding Euro dan Pound, namun kukuh berbanding dolar Australia, dolar Kanada dan Yen.

Hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) kembali terperosok ke paras 4.50% menjadi antara petunjuk penurunan nilai US dolar dalam pasaran menuju penghujung minggu.

Tumpuan terarah kepada ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell ketika menghadiri acara persidangan di Washington DC semalam.

Namun, mengecewakan pelabur apabila Powell tidak memberi sebarang petunjuk berkenaan dasar monetari yang kini dijangkakan semakin menuju ke arah pengurangan pengetatan selepas laporan pekerjaan NFP diterbitkan suram minggu lalu.

Satu lagi ucapan oleh Powell akan menjadi tumpuan pada awal pagi Jumaat, namun penganalisis menjangkakan situasi akan serupa seperti semalam, tiada sebarang petunjuk disampaikan beliau.

Di sesi Asia pagi ini (Khamis), pasaran akan menilai data ekonomi China yang akan diterbitkan dan boleh mempengaruhi sentimen pasaran semasa dengan jangkaan kadar inflasi akan menguncup untuk bulan Oktober.

Perkembangan pasaran komoditi dilihat semakin di tahap membimbangkan dengan kejatuhan harga yang berterusan.

Harga minyak mentah WTI AS jatuh ke paras $75.00 setong manakala minyak Brent terperosok ke paras $79.20 setong.

Dagangan emas pula menepati ramalan penganalisis yang menjangkakan harga untuk susut didagangkan rendah mencecah $1,950 per auns.

Suasana pasaran dijangka akan terus tak menentu hingga ke penghujung minggu dan pelabur akan terus berwaspada menantikan petunjuk-petunjuk terbaru dalam pasaran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat