Pasaran Jangkakan Kadar Faedah Negatif Oleh Federal Reserve AS Menjelang 2021

387

Jangkaan pasaran terhadap Federal Reserve AS (Fed) untuk menurunkan kadar faedah kepada negatif menjelang awal tahun 2021 semakin meningkat, walaupun perkara itu terus dinafikan oleh beberapa ahli Fed sendiri.

Pengerusi Fed, Jerome Powell dan ahli yang lain mengatakan bahawa mereka tidak melihat bahawa kadar faedah negatif adalah sesuai untuk dilaksanakan di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, beberapa pelabur mungkin melihat kesan yang jauh lebih buruk disebabkan pandemik coronavirus yang boleh mendorong Fed untuk mengambil langkah drastik dalam bertindak balas kepada situasi ini.

Niaga hadapan dana Fed, yang menjadi ukuran di mana pasaran menjangkakan kadar faedah bank pusat, telah mula menetapkan harga dalam lingkungan kadar yang sedikit negatif pada bulan Disember.

Federal Reserve sebelum ini telah mengurangkan kadar julat sasaran 0% hingga 0.25% pada bulan Mac dan melancarkan banyak langkah rangsangan untuk melindungi pasaran kewangan dan ekonomi yang dilanda krisis coronavirus.

Fed dilihat tidak akan mengurangkan kadar faedah kepada paras negatif disebabkan bimbang bahawa tindakan sedemikian mungkin tidak berkesan dalam merangsang pertumbuhan dan ia boleh mengganggu pasaran wang AS.

Presiden Fed Richmond, Thomas Barkin memberitahu bahawa beliau tidak melihat keperluan yang menunjukkan kadar faedah negatif akan menjadi pilihan yang sesuai untuk Amerika Syarikat, walaupun pasaran menarik bank pusat ke arah itu.

Sementara itu, Presiden Fed Philadelphia, Patrick Harker berkata kadar faedah di bawah paras sifar tidak akan membantu perniagaan yang bergelut dengan krisis coronavirus, kerana masalah yang dihadapi tidak banyak yang berkaitan dengan kos pinjaman.

 

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat