Pasaran Kewangan Turut Terjejas Oleh Penularan Wabak Coronavirus?

460

Kebimbangan mengenai ancaman penularan wabak Coronavirus yang semakin meluas di China dikatakan antara faktor utama kepada peningkatan safe-haven yen dan dagangan emas pada sesi Asia hari ini, malah sehingga ke sesi Eropah situasi ini dilihat masih berterusan.

Selain itu, ia juga menyebabkan sentimen risk-off dalam pasaran ekuiti, terutamanya selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan virus yang telah menyebabkan 4 kematian itu boleh dijangkiti antara manusia.

Berikutan daripada itu, WHO mengumumkan satu mesyuarat jawatankuasa kecemasan akan diadakan pada Rabu untuk menilai sama ada virus itu merupakan kecemasan kesihatan awam antarabangsa dan menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.

Bagaimanapun, tidak semua pasaran saham di Asia yang terjejas disebabkan penularan wabak ini. Hal ini dapat dilihat apabila indeks saham utama China berkaitan penjagaan kesihatan dan syarikat IT ditutup pada tahap tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Lebih sedozen firma farmaseutikal yang disenaraikan di Shanghai dan Shenzhen melonjak sebanyak 10%, iaitu mencecah jumlah maksimum harian dibenarkan.

Kebimbangan terhadap penularan ini mencetuskan kembali memori mengenai wabak SARS pada 2002/2003 yang telah mengorbankan hampir 800 orang dari seluruh dunia, dan juga pada asalnya bermula di China.

Matawang yuan China susut ke paras terendah mingguan sementara dolar Aussie turut menurun lebih rendah berbanding US dolar selepas laporan mengenai wabak misteri itu dikesan telah menular ke Australia.

Setelah meningkat berbanding USD, matawang safe-haven yen dilihat gagal memberi reaksi terhadap keputusan dasar monetari hari ini oleh Bank of Japan (BOJ) yang mengekalkan kadar faedah pada -0.10%.

Sementara itu, matawang pound kembali meningkat berbanding USD selepas penerbitan data pekerjaan UK menunjukkan kadar pengangguran kekal pada 3.8% manakala purata pendapatan mingguan UK pula meningkat kepada 3.2%, lebih baik dari jangkaan pasaran untuk naik 3.1%.

Antara perkara yang turut menjadi tumpuan pasaran hari ini ialah ucapan Presiden A.S Donald Trump di Forum Ekonomi Dunia di Davos pada hari ini yang dijangka isu perdagangan dan tarif akan menjadi agenda utama beliau.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat