Pasaran Matawang, Saham Eropah Parah Dibadai Gelombang Covid-19

286

Dagangan euro bertambah parah dengan jatuh lebih rendah pada sesi Eropah ketika Jerman, Perancis dan UK sedang mempertimbangkan sekatan baru untuk membendung penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijangka akan membuat pengumuman pada Rabu malam (waktu Eropah) selepas terdapat laporan yang menyatakan kerajaannya sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan lockdown di seluruh negara selama satu bulan, setelah Perancis melaporkan jumlah kematian tertinggi sejak April.

Sementara itu, Canselor Jerman Angela Merkel pula sedang mempertimbangkan langkah sekatan lebih ketat dan akan mengumumkannya selepas perbincangan dengan perdana menteri negara diadakan.

Selain itu, matawang pound juga mencatatkan penurunan lebih rendah setelah Perdana Menteri UK Boris Johnson dilaporkan akan mengumumkan langkah sekatan baru, namun terdapat perselisihan pendapat di kalangan anggota parlimen.

Kebimbangan mengenai lonjakan kes Covid-19 dan perlaksanaan sekatan baru turut mendorong pasaran saham Eropah untuk dibuka rendah pada hari ini.

FTSE London dilaporkan jatuh ke tahap terendah enam bulan, iaitu ketika UK di bawah perlaksanaan perintah berkurung pada April. Sementara indeks Stoxx 600 syarikat Eropah pula menjunam ke tahap terendah sejak pertengahan Jun.

Dalam pada itu, turut menambah tekanan kepada dagangan pound adalah apabila rundingan mengenai perdagangan Brexit dikatakan berada di ‘titik paling sukar’, menurut Presiden Majlis EU Charles Michel.

Di sisi lain, dolar Aussie dan New Zealand juga menjunam berikutan kebimbangan mengenai prospek pemulihan global akan terbantut disebabkan sekatan dikenakan di negara-negara utama dunia.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat