Pasaran Minyak Kena Tempias Badai Ribut Salji Di AS

227

Pergerakan positif dalam dagangan komoditi hitam terserlah pada sesi Asia yang disokong oleh berita baik dari China dan kebimbangan terhadap bekalan ekoran ribut musim sejuk di Amerika Syarikat.

Menghiasi sesi Asia, niaga hadapan WTI Amerika Syarikat menokok sekitar 1.5% yang membawanya didagangkan lebih tinggi pada $79 setong, manakala dagangan minyak Brent pula menguat 0.9% pada $85 setong.

Kenaikan yang dicatatkan ini adalah lanjutan daripada lonjakan yang dicatatkan pada Jumaat lalu yang menyaksikan minyak Brent naik 3.6% dan WTI meningkat 2.7%.

Penganalisis mengatakan kekhuatiran terhadap gangguan bekalan akibat ribut musim sejuk di AS yang mendorong pembelian, walaupun perdagangan rendah kerana ramai pemain pasaran bercuti.

Dalam pada itu, berita baik dari China menghiasi dagangan awal minggu apabila ia mengumumkan akan mengangkat peraturan kuarantin untuk pelancong luar negara mulai 8 Januari.

Ini secara tidak langsung meningkatkan prospek untuk permintaan bahan api dari pengimport utama dunia itu apabila lebih banyak perjalanan atau penerbangan dibenarkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat