Pasaran Sesi Asia Sudah Dibuka, Ini Perkara Utama Pelabur Perlu Tahu!

272

Dagangan yang bercampur-campur diperlihatkan oleh raja mata wang US dolar pada awal minggu setelah ditutup rendah pada Jumaat.

Penurunan harga komoditi pada minggu lalu, sedikit sebanyak membantu meredakan kekhuatiran terhadap tekanan inflasi dan mendorong pasaran ekuiti untuk meningkat serta safe-haven USD menurun.

Dapat dilihat sentimen sedikit risk off pada sesi Asia hari ini, di mana dolar Aussie dan New Zealand didagangkan susut berbanding US dolar dan mata wang yen.

Ini mungkin didorong oleh pandangan yang menyuramkan terhadap ekonomi global apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan ke atas Amerika Syarikat, mengatakan negara itu mempunyai sedikit peluang untuk mengelakkan kemelesetan.

Sementara itu, isu perang Rusia-Ukraine kembali meningkat selepas negara-negara G7 berkumpul pada hujung minggu untuk menambahkan lagi tekanan ke atas Moscow dengan mengenakan lebih banyak sekatan.

Pada masa yang sama Kesatuan Eropah (EU) turut bimbang dengan kemungkinan penutupan sepenuhnya bekalan gas Rusia ke negara anggotanya, yang boleh menimbulkan kesukaran untuk berdepan musim sejuk akan datang.

Euro bagaimanapun mengenepikan kebimbangan tersebut dan memanfaatkan penyusutan US dolar untuk memadamkan kerugian yang dicatatkan selepas dikecewakan oleh data PMI pembuatan dan perkhidmatan Zon Eropah pada minggu lalu.

Dagangan pound pula kekal mendatar di tengah-tengah ketiadaan pemangkin baharu untuk merangsang pergerakan mata wang itu lebih agresif.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat