Pasaran Tidak Keruan, Perang Dunia Ke-3 Makin Hampir?

1,276

Ketidakpastian kembali menyelubungi pasaran susulan laporan mengenai Rusia yang telah melancarkan peluru berpandu ke atas Poland pada awal pagi ini.

Ini membuatkan US dolar mendapat sedikit sokongan untuk meningkat setelah mengalami kerugian ekoran data inflasi pengeluar Amerika Syarikat.

Indeks harga pengeluar (PPI) Oktober membuktikan bahawa tekanan harga di negara itu telah mereda, dengan catatan peningkatan 8% tahun ke tahun daripada 8.4% yang dicatatkan pada September.

Penurunan ini sejajar dengan catatan inflasi pengguna (CPI) yang diterbitkan minggu lalu, di mana ia menurun kepada 7.7% pada Oktober daripada 8.2% bulan sebelumnya.

Rentetan itu US dolar susut lebih rendah, menyaksikan indeks dolar tergelincir ke paras harga 105.34 berbanding sekumpulan mata wang utama, paras terendah 3 bulan.

Bagaimanapun, suasana pasaran mula berubah menyusuli berita bahawa peluru berpandu yang dipercayai oleh Rusia menghentam Poland yang meragut sekurang-kurangnya dua nyawa.

Meskipun begitu, masih belum terdapat pengesahan rasmi sama ada serangan tersebut dilakukan oleh Rusia.

Peluru berpandu mendarat di kampung Poland Przewodów, berhampiran sempadan dengan Ukraine. Serangan mengejutkan ini telah mencetuskan kebimbangan dunia bahawa ketegangan antara Rusia dan negara Barat lain akan meningkat, memandangkan Poland juga merupakan ahli NATO.

Presiden AS, Joe Biden dilaporkan telah memanggil untuk mengadakan mesyuarat tergempar dengan pemimpin G7 dan NATO susulan insiden itu.

Reaksi pasaran susulan laporan ini masih lagi terhad, namun pelabur dapat menyaksikan kebanyakan mata wang utama sedikit berundur daripada paras tertinggi bulanan pada awal sesi Asia hari ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat