Pawagam Di Malaysia Terpaksa Ditutup – MAFE

581

Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) telah sebulat suara memutuskan untuk menangguhkan seketika operasi pawagam di seluruh negara bermula November ini.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan oleh MAFE hari ini, pawagam akan menghentikan tayangan filem dan operasi konsesi secara progresif di setiap lokasi sambil terus memantau keadaan semasa dan bertindak dengan sewajarnya ketika keadaan pasaran bertambah baik.

MAFE menjelaskan penutupan itu adalah keputusan yang tepat dibuat oleh mereka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini di beberapa negeri yang memerlukan pawagam tetap ditutup.

Tambah kenyataan itu lagi, keputusan tersebut juga dibuat berdasarkan kurangnya filem-filem baharu dalam tempoh masa terdekat ini.

MAFE turut menegaskan ia bukan satu keputusan yang mudah untuk dibuat namun terpaksa dilakukan selepas mengambil kira situasi yang cukup mencabar untuk pawagam dan bagi memastikan operasi pawagam di negara ini dapat terus dikekalkan.

Ujar MAFE, industri pawagam Malaysia menerima impak besar akibat wabak tersebut dan telah mengalami kerugian pendapatan yang banyak akibat penurunan jumlah pelanggan sehingga 90% selain terpaksa mengeluarkan kos yang besar dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan pematuhan yang kukuh dan keselamatan kepada pelanggan.

Persatuan berkenaan juga memaklumkan semua syarikat pengendali pawagam di negara ini telah meminta bantuan kerajaan dan sokongan dalam bentuk sewa.

MAFE tidak menolak apa jua bakal berlaku dan bulan-bulan mendatang ini merupakan tempoh yang penting bagi kelangsungan industri pawagam negara.

Namun, MAFE tetap optimis bahawa selepas redanya Covid-19, kehadiran orang ramai ke pawagam akan meningkat semula kerana menonton filem merupakan pilihan hiburan yang utama bagi rakyat negara ini.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat