Pelabur Bimbang Pelaksanaan PKP

638

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berbeza dengan pasaran serantau berikutan selera risiko pasaran telah dijejaskan oleh kebimbangan semula ke atas kemungkinan sekatan pergerakan di beberapa negeri dan ketidaktentuan yang melanda landskap politik tempatan.

Pada 9.06 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.52 mata kepada 1,582.45 selepas dibuka 2.44 mata lebih rendah kepada 1,589.53, berbanding paras penutupan 1,591.97 semalam.

Lapor Bernama, di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 363 kepada 149 manakala 1,305 kaunter tidak berubah, 266 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 859.88 juta unit bernilai RM358.78 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata, FBM KLCI yang dijual lebih banyak semalam mungkin berdepan laluan mencabar pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan sedikit aktiviti belian saham berharga rendah akan berlaku. Justeru, kami meramalkan indeks untuk berada dalam jajaran 1,585 hingga 1,600 hari ini,” katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, niaga hadapan minyak sawit mentah telah mencapai paras RM4,000 satu tan, manakala minyak mentah penanda aras Brent ditutup tinggi pada AS$54.30 setong susulan penurunan bekalan.

Di pasaran tempatan, saham berwajaran tinggi seperti Maybank jatuh empat sen kepada RM8.20, Public Bank susut 20 sen kepada RM20.14, Tenaga turun 16 sen kepada RM10.26, Petronas Chemicals jatuh dua sen kepada RM7.08 dan Top Glove susut tiga sen kepada RM5.73.

Bagaimanapun, IHH Healthcare menokok lapan sen kepada RM5.63.

Dalam kalangan saham aktif, Advance Synergy jatuh satu sen kepada 17 sen, manakala Vortex, Ageson, Iris dan Talam masing-masing tidak berubah pada enam sen, 13 sen, 37 sen dan tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 76.08 mata kepada 11,403.41, Indeks FBMT 100 jatuh 78.64 mata kepada 11,145.15, FBM 70 susut 147.71 mata kepada 14,515.72, Indeks FBM Emas Shariah susut 61.79 mata kepada 12,786.63 dan FBM ACE jatuh 29.72 mata kepada 10,535.56.

Sementara itu, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.66 mata kepada 171.91, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 119.16 mata kepada 14,851.21, manakala Indeks Perladangan meningkat 3.05 mata kepada 7,350.22.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat