Pelaburan Diluluskan Dalam Negara Diunjur Meningkat 13%

159

United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) mengunjurkan pelaburan yang diluluskan di negara ini akan meningkat 13% kepada RM185 bilion pada tahun ini dengan hampir 40% adalah daripada pelaburan langsung asing (FDI).

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong, Ng Wei Wei berkata, pihaknya yakin bahawa potensi ekonomi negara yang pelbagai, asas yang teguh, dasar akomodatif dan demografi yang baik akan terus menarik minat syarikat asing yang ingin berkembang ke rantau ini.

“China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dijangka kekal sebagai antara sumber utama FDI dan kebanyakan daripada modal serta disalurkan ke sektor nilai tambah tinggi, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), kimia, pembuatan dan perindustrian.

“Kami percaya pengaturan semula rantaian bekalan ke negara-negara ASEAN akibat ketidaktentuan geopolitik, termasuk ketegangan perdagangan AS-China akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dalam sektor-sektor utama seperti perindustrian, barangan pengguna serta telekomunikasi, media serta teknologi,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wei Wei, jangkaan pertumbuhan turut disokong oleh pelancaran rangkaian global 5G yang akan merangsangkan sektor E&E dan pembuatan elektronik selain mempertingkatkan infrastruktur digital negara.

Di samping itu, jelas Wei Wei, berikutan usaha kerajaan dalam menggalakkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus di negara ini, bank melihat minat yang semakin meningkat dalam projek berkaitan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar.

“Apabila negara beralih ke tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan infrastrukturnya dengan sumber tenaga yang lebih bersih, ia akan menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat multinasional yang ingin mengembangkan operasinya dengan cara yang mampan,” kata beliau seperti dilaporkan oleh Bernama.

Menurut bank berkenaan, meskipun menghadapi persekitaran ekonomi global yang mencabar pada tahun lalu akibat pandemik Covid-19, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion yang mana RM64.2 bilion adalah dari sumber FDI.

Tahun lalu, China merupakan sumber FDI utama negara dengan RM18.1 bilion atau bersamaan dengan 28.2% sementara penyumbang lain termasuk Singapura sebanyak RM10 bilion; Belanda (RM7 bilion) dan AS (RM4.3 bilion).

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat