Pelaksanaan HIDE Buat Kaunter Ini Susut

499

Saham dalam kaunter peruncitan susut pada sesi dagangan pagi ini selepas Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengarahkan premis yang ditandai sebagai titik panas Covid-19 oleh sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) ditutup selama tiga hari.

Beberapa lokasi di mana para peruncit ini beroperasi seperti pusat membeli-belah, telah ditandai oleh HIDE.

Bagaimanapun, Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) yang mempunyai aset pusat membeli-belah dan diarahkan tutup oleh sistem HIDE kekal tidak berubah selepas penganalisis tidak menjangkakan pendapatan mereka terjejas dengan ketara.

Pada pukul 9.58 pagi, AEON Co (M) Bhd susut satu sen atau 0.84% kepada RM1.18; Parkson Holdings Bhd menurun setengah sen atau 2.13% kepada 23 sen dan MyNews Holdings Bhd susut satu sen atau 1.1% kepada 89.5 sen.

Padini Holdings Bhd dilihat tidak berubah pada RM2.90 selepas menurun RM2.86 pagi ini.

Pavilion REIT, Sunway REIT, IGB REIT, CapitaLand Malaysia Mall Trust dan KLCC Stapled Group turut tidak berubah.

Sentral REIT melonjak setengah sen atau 0.56% kepada 89.5 sen manakala KIP REIT susut setengah sen atau 0.59% kepada 84 sen.

Menurut penganalisis BIMB Securities Research, Azharuddin Nordin menerusi notanya hari ini, senarai terbaharu titik panas HIDE yang diperkenalkan oleh HIDE pada hujung minggu baru-baru ini akan memberi impak tambahan kepada pasaran serta perbelanjaan pengguna.

“Sistem HIDE boleh menjejaskan pemulihan sektor peruncitan yang sudah lemah kerana syarikat seperti Padini akan bergelut kerana pusat membeli-belah yang berisiko terpaksa ditutup sementara.

“Jualan Padini terutamanya disumbang dari premisnya di Kuala Lumpur dan Selangor. Meskipun perintah pergerakan diterima secara umum sebagai norma baharu, kami berpendapat pelaksanaan perindah kawalan pergerakan (PKP) yang tidak konsisten dan HIDE telah menjadi endemik,” ujar beliau.

Sementara itu, penganalisis PublicInvest Research, Tan Siang Hing menganggarkan bahawa pendapatan untuk IGB REIT dan Sunway REIT berkemungkinan adalah kurang daripada 1% berikutan penutupan mandatori premis.

“Anggaran pendapatan kami kekal tidak berubah sementara menanti lebih jelas mengenai impak HIDE. Kami mengekalkan saranan neutral ke atas REIT buat masa ini,” jelasnya.

Menurut PublicInvest Research, premis yang disenaraikan sebagai titik panas Covid-19 oleh HIDE termasuk pusat membeli-belah utama seperti Mid Valley Megamall, Suria KLCC, Sunway Pyramid dan 1 Utama Shopping Centre.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat