Pelaksanaan ‘Total Lockdown’ Buat Pelabur Tak Keruan

241

Bursa Malaysia dibuka rendah secara menyeluruh berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati menjelang sekatan pergerakan penuh di seluruh negara yang akan dilaksanakan bermula esok susulan kes Covid-19 yang tinggi.

Pada 9.02 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 23.64 mata, atau 1.48 peratus, kepada 1,570.80 daripada 1,594.44 semasa ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Bernama melaporkan, indeks dibuka rendah 23.4 mata kepada 1,571.04.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 740 berbanding 40, manakala 123 kaunter tidak berubah, 1,279 tidak diniagakan dan 58 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 525.94 juta unit bernilai RM184.68 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam notanya berkata, saham tempatan dijangka menghadapi tekanan jualan hari ini susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu bermula 1 Jun hingga 14 Jun di seluruh negara.

Langkah itu dibuat berikutan kes harian Covid-19 yang meningkat. Malaysia mencatatkan 6,999 kes baharu semalam.

“Kami menjangka kecenderungan negatif dalam pasaran lebih luas berikutan sekatan pergerakan penuh. Bagaimanapun, pelabur mungkin memberi tumpuan kepada saham berkaitan vaksin atau farmaseutikal dengan program vaksinasi yang sedang dijalankan.

“Selain itu, sektor seperti teknologi dan perkapalan yang berkaitan dengan peringkat global serta berkaitan PPE akan terus beroperasi di bawah PKP penuh dan akan mendapat perhatian peniaga,” menurut firma broker itu.

Di peringkat global, pasaran saham AS meningkat berikutan Dow mencatatkan kenaikan kecil (+0.2%), didorong oleh keyakinan mengenai cadangan belanjawan yang besar daripada Presiden AS Joe Biden.

Pasaran saham Eropah meningkat manakala pasaran saham Asia ditutup kebanyakannya tinggi.

Sementara itu, Rakuten Trade Sdn Bhd menjangka indeks bergerak dalam julat 1,590-1,600 hari ini, dengan minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah (MSM) dilihat baik serta MSM ditutup pada purata tertinggi sepanjang masa pada Mei.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot lima sen kepada RM8.15, Public Bank susut lapan sen kepada RM4.19, PetChem berkurangan 18 sen kepada RM7.96, manakala Tenaga turun 10 sen kepada RM9.89.

Kaunter rugi lain termasuklah MPI yang merosot RM1.20 kepada RM36.00, Nestle berkurangan RM1 kepada RM135.50 dan BAT susut 54 sen kepada RM15.26.

Daripada saham aktif, Tanco tidak berubah pada 14.5 sen, Vsolar susut setengah sen kepada dua sen, manakala Kumpulan Jetson naik 2.5 sen kepada 61 sen.

Dalam perkembangan lain, dagangan saham Eka Noodles Bhd digantung hari ini selepas bursa tempatan menolak permohonannya untuk lanjutan masa bagi mengemukakan cadangan pelan penyusunan yang disemak semula.

Dalam makluman minggu lepas, pengeluar beras dan kayu sagu itu berkata, Bursa Securities berpendapat syarikat tidak menunjukkan rasa berpuas hati mengenai sebarang perkembangan berhubung penyerahan pelan penyusunan semula kepada pihak berkuasa pengawalseliaan.

Susulan penggantungan itu, Eka Noodles akan dinyahsenarai pada 2 Jun kecuali terdapat rayuan terhadap penyahsenaraian itu dikemukakan sebelum 28 Mei.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 217.25 mata kepada 11,361.25 dan Indeks FBMT 100 merosot 189.19 mata kepada 11,087.41.

Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 237.70 mata kepada 12,609.34, FBM 70 susut 335.27 mata kepada 14,534.38 dan FBM ACE jatuh 291.47 mata kepada
7,552.41.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 219.36 mata kepada 14,947.77, Indeks Perladangan susut 75.71 mata kepada 6,832.75 serta Indeks
Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 5.64 mata kepada 187.45.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat