Pelaku Skim Ponzi Terbesar Dunia Meninggal Di Penjara

1,196

Bernie Madoff yang menjalankan skim penipuan Ponzi paling besar di dunia, meninggal dunia dalam penjara pada usia 82 tahun.

Kematiannya diumumkan oleh Biro Penjara.

Madoff dijatuhi hukuman penjara selama 150 tahun selepas mengaku bersalah pada 2009 kerana menjalankan skim Ponzi.

Skim terbabit membayar pelabur dengan wang daripada pelanggan baharu dan bukannya daripada keuntungan sebenar.

Bagaimanapun, skim tersebut ‘tumbang’ ketika krisis kewangan 2008.

“Madoff sehingga akhir hayatnya, hidup dengan rasa bersalah dan menyesal atas perbuatannya.

“Meskipun jenayah yang dilakukan oleh Madoff menentukan siapakah dirinya, dia juga seorang bapa dan suami. Dia seorang yang lemah-lembut dan seorang intelektual. Madoff tidak sempurna, tiada seorang pun,” kata peguam, Brandon Sample menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Madoff iaitu anak kepada imigran Eropah yang membesar di New York, menubuhkan firma Bernard L Madoff Investment Securities pada 1960.

Syarikat itu menjadi broker saham terbesar dan Madoff berkhidmat sebagai pengerusi Nasdaq.

Firma berkenaan disiasat sebanyak 8 kali oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (AS) kerana memperoleh pulangan yang luar biasa.

Namun kemelesetan ekonomi global menyebabkan Madoff yang juga seorang pelabur menanggung kerugian yang besar dan menyebabkan dia menjalankan skim Ponzi.

Antara yang ditipu oleh skim berkenaan adalah pelakon, Kevin Bacon; pemain bola lisut, Sandy Koufax dan yayasan kebajikan milik pengarah, Steven Spielberg iaitu Wunderkinder.

Bank-bank juga turut menjadi mangsa skim tersebut, antaranya HSBC Holdings, Royal Bank of Scotland, Man Group serta Nomura Holdings di Jepun.

Guru sekolah, petani, mekanik dan ramai lagi juga kehilangan wang mereka dalam skim terbabit.

“Kami fikir dia adalah Tuhan. Kami mempercayai segala-galanya di tangannya,” kata pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Elie Wiesel pada 2009, yang kehilangan wang AS$15.2 juta.

Ketika dibicarakan, Madoff berkata pada mulanya, dia hanya ingin menjalankan skim itu untuk tempoh masa yang singkat.

“Saya tidak dapat menyatakan betapa bersalahnya saya atas apa yang saya lakukan. Saya menyedari penangkapan saya dan hari ini pasti akan hadir,” ujarnya pada Mac 2009 ketika dia mengaku bersalah.

Penipuan tersebut membabitkan anggaran AS$65 bilion. Daripada angka berkenaan, AS$14 bilion telah dijumpai.

Tahun lalu, Madoff meminta dibebaskan dari penjara lebih awal atas masalah kesihatan termasuklah penyakit buah pinggang.

Hakim Denny Chin bagaimanapun menafikan permohonan Madoff, menyatakan masih ramai mangsa yang menderita kerana kehilangan wang.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat