Pelantikan Nazir Razak Pecah Rekod Tertinggi PLS

1,220

Saham PLS Plantations Bhd melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa pagi ini selepas syarikat itu mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi CIMB, Datuk Seri Mohamed Nazir Abdul Razak sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif berkuatkuasa 10 Februari ini.

Saham syarikat berkenaan melonjak setinggi 33 sen atau 30% pada RM1.43 sesaham.

Pada pukul 10 pagi, saham PLS meningkat sebanyak 20.91% atau 23 sen kepada RM1.33, sekali gus menjadikan permodalan pasarannya bernilai RM531.36 juta.

Syarikat berkenaan merupakan antara kaunter yang mencatatkan keuntungan tertinggi pada sesi dagangan Bursa Malaysia pagi ini.

Sebanyak 1.28 juta sahamnya didagangkan dan empat kali ganda purata 200 hari nilai dagangannya iaitu 341,782 saham.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, PLS berkata perubahan pada ahli lembaga itu adalah susulan daripada peletakan jawatan Hisham Mahmood sebagai Pengarah Kanan Bukan Eksekutif Bebas dan peletakan jawatan Datuk Lim Kang Poh sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas pada bulan lalu.

“Selepas pelantikan Mohamed Nazir, pengerusi ketika ini iaitu Tan Sri Datuk Lim Kang Hoo akan dilantik semula sebagai Naib Pengerusi Eksekutif PLS. Beliau juga merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ekovest,” kata PLS seperti dilaporkan oleh Bernama.

Sementara itu, seorang lagi bekas Pegawai Kanan Bank CIMB, Tan Hong Kheng juga akan sertai PLS sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada tarikh yang sama.

Mohamed Nazir berkata, beliau berharap dapat memberikan bimbingan dan pandangan ketika PLS melangkah ke hadapan untuk memperluaskan ladang durian dan perniagaan hilirannya dan mempelbagaikan perniagannya dalam bidang pertanian yang lain.

“Untuk memperkukuhkan kedudukan saya dengan masa depan PLS, selain mengambil bahagain dalam penempatan saham oleh syarikat ini baru-baru ini, saya juga memperoleh pilihan untuk membeli waran sedia ada di PLS yang apabila dilaksanakan, membolehkan saya meningkatkan pegangan saham saya di PLS daripada 4.75% pada masa ini kepada 9.9% berdasarkan modal sahamnya sekarang,” ujarnya

Pada 22 Januari lalu, PLS mengumumkan tawaran jualan saham menerusi penempatan swasta sehingga 10% daripada jumlah saham syarikat yang diterbitkan.

Mohamed Nazir melanggan sebanyak 19 juta saham PLS pada harga RM0.95 sesaham pelaksanaan penempatan swasta tersebut, manakala 10.0 juta saham PLS telah dilanggan oleh Tiong Nam Logistics Holdings Bhd pada harga RM1.01 bagi setiap saham PLS.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat