Penangan Penutupan 28 Kilang, Top Glove Di Ambang Kejatuhan?

3,601

Saham Top Glove Corp Bhd merosot mendadak berikutan berita mengenai 28 kilangnya akan ditutup secara berperingkat untuk membuat saringan kepada para pekerja selepas berlaku peningkatan ketara kes Covid-19 dalam kalangan mereka.

Sehingga 10.30 pagi, saham Top Glove turun 48 sen kepada RM6.87 dengan 40.65 juta saham diniagakan.

Penurunan itu turut menyebabkan indeks penanda aras FBM KLCI jatuh 7.74 mata daripada keseluruhan penyusutan sebanyak 9.64 mata.

Dalam pada itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Farah Diyana Kamaludin berkata, beliau menjangkakan penurunan pendapatan bagi Top Glove sebanyak 5.6% bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2021 (FY21).

Farah Diyana juga menurunkan harga sasaran Top Glove kepada RM10.38 berbanding RM10.95 sebelum ini. Beliau juga mengekalkan saranan ‘buy’ terhadap saham syarikat berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, sebanyak 28 kilang akan ditutup secara berperingkat selepas 1,884 pekerja Top Glove disahkan positif COVID-19.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja asing syarikat sarung tangan tersebut bermula 17 Nov lepas bagi membendung penularan Covid-19.

Menurut penganalisis seperti dipetik oleh Bernama sebagai berkata, penutupan kilang pembuat sarung tangan getah terbesar dunia itu dijangka menyebabkan kekurangan bekalan sarung tangan akibat peningkatan kes Covid-19 di peringkat global.

“Walaupun rancangan mengenai vaksin telah dibuat, situasi pada masa ini menyebabkan permintaan adalah tinggi sehingga akhir tahun ini. Pengurangan pengeluaran akan mengakibatkan syarikat berada dalam tekanan untuk sekurang-kurangnya dua minggu,” katanya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat