Pendapatan Rubberex Umpama Tsunami Melanda

1,088

Keuntungan bersih Rubberex Corp (M) Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020 (3QFY20) melonjak sehingga 13 kali ganda kepada RM39.52 juta berbanding RM3.11 juta pada suku yang sama tahun lalu berikutan peningkatan permintaan yang tinggi terhadap sarung tangan nitril akibat pandemik Covid-19.

Pendapatan bagi 3QFY20 turut melonjak 75% kepada RM109.03 juta daripada RM62.23 juta pada tahun sebelumnya.

Syarikat itu seperti dipetik oleh Bernama sebagai berkata, peningkatan perolehan itu adalah hasil daripada bahagian sarung tangan pakai buang nitril kerana sarung tangan yang dihasilkan dianggap produk penting untuk digunakan oleh sektor kesihatan serta perubatan dalam memerangi pandemik Covid-19.

Bagi sembilan bulan terkumpul yang berakhir pada 30 September 2020, keuntungan bersih Rubberex meningkat sebanyak 860% kepada RM71.74 juta berbanding RM7.47 juta pada tahun sebelumnya manakala pendapatan syarikat terbabit meningkat 57% kepada RM263.56 juta berbanding RM168.33 juta sebelum ini.

Mengenai prospek, ujar Rubberex, syarikat tersebut kekal fokus kepada bahagian sarung tangan pakai buang nitril yang kini beroperasi dengan kapasiti penuh.

“Prestasi baik kumpulan ini dijangka akan berterusan sehingga akhir tahun ini kerana tempahan beli dan jual berdasarkan paras harga bagi sarung tangan pakai nitril sedia ada telah penuh hingga separuh kedua tahun 2021.

“Pengembangan kapasiti seterusnya berada di landasan tepat dan diunjurkan dapat menyumbang kepada pendapatan pada suku keempat 2020 dan suku seterusnya,” menurut syarikat itu.

Pada pukul 12.30 tengah hari, saham Rubberex meningkat 14 sen atau 7.41% kepada RM2.03, menjadikan permodalan pasaran syarikat itu bernilai RM1.69 bilion.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat