Penganalisis Jangkakan Masa Depan Supermax Kelam

342

Apalah nasib Labu oi!

Penganalisis menjangkakan Supermax bakal menghadapi masa depan yang mencabar dek kerana sekatan import sarung tangan dari Amerika Syarikat (AS), harga jualan purata (ASP) yang rendah dan kesan dari Cukai Makmur.

Pada hari Rabu, Supermax telah mengumumkan keuntungan bersih pada suku pertamanya yang berakhir 30 September 2021 (1QFY22) merudum satu pertiga kepada RM638.52 juta berbanding RM958.71 juta yang dicatat pada suku sebelumnya dan perolehan suku tahunannya turut menjunam 22.4% kepada RM1.45 bilion daripada RM1.88 bilion.

Susulan itu, beberapa penganalisis ekonomi telah memberi pandangan tentang hala tuju Supermax pada masa akan datang.

Penganalisis Kenanga Research, Choo Ping Khoon, menyatakan walaupun Supermax mencatat keuntungan melebihi jangkaannya sehingga mendorong beliau untuk menaikkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2022 (FY22) sebanyak 12%, namun ia masih tidak meyakinkan.

Beliau memberi amaran bahawa pendapatan pada suku berikutnya mungkin akan terjejas kerana kehilangan hasil daripada sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dengan menggunakan Perintah Pelepasan Pesanan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) ,yang menyumbang 20% daripada hasil jualannya.

Selain itu, penganalisis Affin Hwang Investment Bank, Ng Chi Hoong, turut menjangkakan prestasi lemah untuk Supermax bagi suku akan datang kerana syarikat itu akan terus beroperasi pada kapasiti yang berkurangan berikutan kekurangan buruh yang berterusan dan ASP yang terus menurun.

Tambahnya lagi, unjuran pendapatan Supermax bagi FY22 dijangka meningkat sebanyak 9.8% namun unjuran FY23 dan FY24 dijangka menurun sebanyak 47.4% dan 42.5% atas faktor ASP yang rendah.

Sementara itu, penganalisis UOB KayHian, Philip Wong, berpendapat pendapatan 1QFY22 Supermax berada di bawah jangkaan kerana pendapatannya diapit 2 masalah iaitu penutupan sementara operasinya semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan pembalikan ASP yang mendadak. Walaupun prestasi tersebut di luar jangkaan, ia dijangka merundum dek kerana kitaran menurun dalam industri tersebut.

Seterusnya, penganalisis KAF Research, Nabil Zainoodin, mengunjurkan pendapatan yang lemah untuk Supermax disebabkan sekatan oleh AS bulan lalu dan pemberhentian kontrak kerajaan persekutuan Kanada, di mana kedua-duanya berlaku kerana dakwaan buruh paksa.

Ujarnya lagi, selain jangkaan jumlah jualan yang lebih rendah kepada kedua-dua pasaran utama, pendapatan syarikat tersebut juga akan dipengaruhi oleh pengenaan Cukai Makmur yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Setakat jam 2 petang, saham Supermax jatuh 4 sen atau 2.20% pada RM1.78.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat