Penganalisis Unjur Pendapatan TNB Naik 22%

228

MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengunjurkan pendapatan bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 meningkat 22% tahun ke tahun, dipacu terutama oleh ketiadaan beberapa faktor ‘one-off’ yang dialami syarikat itu pada tahun kewangan sebelum ini.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, firma berkenaan menjelaskan faktor ‘one-off’ itu termasuk gangguan di loji jana kuasa yang tidak dirancang, kerugian runcit dan diskaun Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang secara terkumpul berjumlah kira-kira RM670 juta.

“Sementara menunggu hasil parameter tempoh pengawalseliaan tiga tahun (2022-2024), buat masa ini, kami secara konservatif mengandaikan pertumbuhan marginal bagi unjuran pendapatan bersih tahun kewangan 2022,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama

MIDF juga mengesahkan semula saranan ‘beli’ ke atas saham TNB pada harga sasaran didorong aliran tunai terdiskaun tidak berubah iaitu RM11.80 sesaham.

Tambah firma tersebut, harga itu telah mengambil kira diskaun 10% elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat untuk menunjukkan tekanan penilaian terhadap TNB, memandangkan pendedahan unit penjanaannya yang tinggi terhadap loji jana kuasa arang batu.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd pula menyemak naik unjuran pendapatan bersih TNB bagi tahun kewangan 2021 kepada 11% dengan andaian margin yang lebih baik dipacu oleh kos penjanaan lebih rendah.

Menerusi nota penyelidikannya, bank pelaburan itu mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas saham TNB dengan harga sasaran didorong aliran tunai terdiskaun tidak berubah pada RM12.42.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat