Penganggur Kerugian RM3,220 Gara-gara Scammer TAC

581

Seorang lelaki berusia 28 tahun yang tidak bekerja telah kerugian sebanyak RM3,220 daripada wang simpanannya gara-gara terpedaya dengan scammer Transaction Authorisation Code (TAC). Selain itu, lelaki itu dikatakan telah ditipu melalui nombor TAC yang diterimanya melalui telefon bimbit daripada individu yang tidak dikenali.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa berkenaan telah pergi ke institusi kewangan pada 3 Februari lalu untuk mendaftarkan akaun perbankan secara atas talian kira-kira jam 12:30 tengah hari.

Kemudian, pada jam 7:30 malam, mangsa telah menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali dan meminta beliau berkongsi nombor TAC yang ‘secara tidak sengaja’ dihantar ke nombor telefon bimbitnya. Di samping itu, scammer berkenaan mendakwa bahawa butiran TAC berkenaan telah dihantar kepada mangsa gara-gara kesilapan yang berlaku.

Rentetan daripada itu, mangsa berjaya diperdaya lalu berkongsi butiran berkenaan dengan pemanggil tersebut. Seterusnya, beliau mendapati sebanyak RM3,220 telah dipindahkan ke akaun lain.

Sehubungan dengan itu, sebuah laporan telah pun dibuat di balai polis daerah.

Bukan itu sahaja! Terdapat banyak lagi kes penipuan yang berleluasa dan menjalankan kegiatan mereka secara atas talian. Oleh yang demikian, setiap individu perlulah sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya apabila menjalankan apa-apa transaksi atas talian.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat