Pengeluaran Getah Asli Lonjak 3.7%

146

Pengeluaran getah asli meningkat 3.7% pada September 2020 kepada 46,187 tan berbanding 44,543 tan pada bulan sebelumnya.

Lapor Bernama, getah asli bagaimanapun mencatatkan penurunan sebanyak 25.2%, berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan dalam Perangkaan Getah Bulanan bagi September 2020 yang dikeluarkan hari ini.

“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,720 tan pada September 2020, meningkat sebanyak 14.2% berbanding 42,658 tan pada Ogos 2020.

“China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 46.0% daripada jumlah eksport pada September 2020 diikuti Jerman (13.2%), Iran (3.8%), Finland (3.3%) dan Brazil (3.1%),” menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport meningkat sebanyak 25.6% dari RM3.0 bilion pada Ogos 2020 kepada RM3.8 bilion pada September 2020.

Antara negara tertinggi eksport produk sarung tangan tersebut adalah kepada Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom.

Stok getah asli meningkat pada September 2020 iaitu sebanyak 255,140 tan berbanding 233,492 tan metrik pada Ogos 2020 dengan peningkatan 9.3 peratus.

“Harga purata bagi lateks pekat pada September 2020 merekodkan peningkatan kepada 484.57 sen sekilogram berbanding Ogos 2020 (467.71 sen sekilogram).

“Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turut meningkat kepada 558.50 sen sekilogram berbanding 538.68 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,” kata Mohd Uzir.

Menurut jabatan itu, penggunaan getah asli di peringkat domestik pada September 2020 ialah 45,207 tan, menurun sebanyak 2.9% berbanding bulan sebelumnya.

Industri pembuatan sarung tangan getah merupakan industri utama dengan penggunaan sebanyak 34,016 tan atau 75.21% daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat