Pengumuman Biden Tidak Diterima Baik

2,541

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur, namun pelabur lebih berhati-hati mengenai sentimen rendah Wall Street selepas tuntutan pengangguran terbesar Amerika Syarikat (AS) yang mengatasi bantuan pakej rangsangan.

Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.52 mata kepada 1,632.19 daripada 1,635.71 semasa ditutup semalam.

Bernama melaporkan, indeks dibuka tinggi 1.56 mata kepada 1,637.27.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 281 berbanding 251, manakala 319 kaunter tidak berubah, 1,257 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 658 juta unit bernilai RM354.29 juta.

Bakal Presiden AS, Joe Biden akan melancarkan pelan Covid-19 bernilai AS$1.9 trilion untuk membendung peningkatan kes Covid-19 dan mengukuhkan ekonomi AS.

Bagaimanapun, pasaran saham AS memberi reaksi negatif selepas laporan Jabatan Buruh menunjukkan tuntutan pengangguran awal melonjak sebanyak 181,000, paras tertinggi dalam tempoh lebih empat bulan minggu lalu walaupun pelabur melihat data yang kurang menggalakkan itu sebagai positif kepada pasaran berikutan ia dapat memberikan tekanan kepada penggubal undang-undang untuk meluluskan lebih banyak rangsangan.

Pada penutup sesi dagangan Wall Street, Dow Jones merosot 0.22%, Nasdaq susut 0.12% dan S&P berkurangan 0.38%.

Malacca Securities berkata, menjejaki sentimen negatif di Wall Street, selain penurunan dalam FBM KLCI semalam, firma itu menjangka sentimen dagangan di peringkat tempatan tidak banyak berubah.

“Kenaikan dalam saham teknologi dijangka reda seketika, dengan pedagang mencatatkan keuntungan dalam tempoh beberapa hari ini.

“Berdasarkan beberapa sektor perlu beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, syarikat akan dapat mencatatkan pendapatan sekurang-kurangnya pada suku tahun ini,” katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, firma penyelidikan itu menjangka permintaan terhadap sektor pembinaan, bahan binaan serta minyak dan gas akan meningkat.

Katanya, kaunter minyak dan gas dijangka diniagakan tinggi hari ini berikutan sektor itu akan mendapat manfaat daripada harga minyak mentah yang kukuh, diniagakan melebihi AS$56 setong pada masa ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kaunter perbankan rendah selepas meningkat semalam dengan Maybank susut sembilan sen kepada RM8.26, Public Bank turun 16 sen kepada RM21.54 dan CIMB merosot lima sen kepada RM4.09.

Press Metal susut 11 sen kepada RM8.56 dan Hartelega berkurangan 10 sen kepada RM12.20.

Daripada saham cergas, XOX dan Iris, masing-masing susut setengah sen kepada 10.5 sen dan 41 sen.

GPA naik satu sen kepada 12 sen dan JCY International berkurangan 5.5 sen kepada 53 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 16.37 mata kepada 11,733.05, Indeks FBMT 100 susut 23.10 mata kepada 11,465.51, manakala Indeks FBM Emas Shariah naik 11.49 mata kepada 13,227.06.

FBM 70 susut 23.61 mata kepada 14,815.89 dan FBM ACE naik 32.24 mata kepada 10.792.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 98.49 mata kepada 15,078.12, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.30 mata kepada 178.41, Indeks Perladangan meningkat 0.98 mata kepada 7,454.38 dan Indeks Penjagaan Kesihatan naik 3.93 mata kepada 3,623.08.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat