Pengumuman PKP Syawal ‘Resahkan’ Pelabur

1,636

Bursa Malaysia susut sedikit pada awal dagangan hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung secara sederhana membabitkan kaunter produk pengguna terpilih ketika sentimen bercampur-campur menguasai pasaran serantau.

Pada 9.15 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.254 mata kepada 1,619.23 daripada 1,623.47 pada akhir dagangan Isnin.

Indeks penanda aras itu turun 0.26 mata kepada 1,623.21 sewaktu pasaran dibuka pagi ini.

Sentimen pasaran secara amnya negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 294 berbanding 260 manakala 384 kaunter lain tidak berubah, 1,262 tidak diniagakan dan 29 lain digantung dagangannya.

Lapor Bernama, jumlah dagangan sebanyak 769.23 juta saham bernilai RM490.78 juta.

Sementara itu, Malacca Securities menerusi nota penyelidikannya menjangkakan sentimen pasaran kekal berhati-hati menjelang pengumuman membabitkan sekatan pergerakan baharu susulan pandemik Covid-19.

“FBM KLCI misalnya mencatat peningkatan untuk sesi ketiga berturut-turut, sebahagiannya dipacu oleh aktiviti belian ketara dalam kaunter sarung tangan susulan peningkatan mendadak Covid-19 di beberapa negara terutamanya di India dan Brazil,” katanya.

Bagaimanapun, firma pembrokeran itu berkata, momentum peningkatan saham sarung tangan tersebut akan susut apabila kes Covid-19 kembali berkurangan selain didorong oleh pelaksanaan program vaksinasi.

“Kami kekal optimis terhadap saham berkaitan pembungkusan berikutan peningkatan ketara terhadapnya serta penghantaran ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selain itu, para pelabur juga mungkin berminat terhadap saham-saham berkaitan teknologi selepas kenaikan semalaman oleh pasaran Nasdaq.

“Malah, saham pengangkutan dan logistik juga kekal menjadi tumpuan yang dipacu oleh permintaan tinggi terhadapnya,” ujar firma itu.

Nestle dan Petronas Dagangan muncul dua kaunter paling rugi di Bursa Malaysia, masing-masing merosot 80 sen dan 20 sen kepada RM135.70 dan RM20.10

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut 5.0 sen kepada RM8.31, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.18, Petronas Chemicals merosot 7.0 sen kepada RM7.84 manakala TNB tidak berubah pada RM10 dan Top Glove sebaliknya naik 7.0 sen kepada RM5.97.

Bagi saham aktif, Focus Dynamics dan Kanger International masing-masing menokok 1.0 sen kepada 15.5 sen dan 8.0 sen, KTG naik setengah sen kepada 26 sen dan Hiap Teck meraih 1.5 sen kepada 55 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 23.62 mata kepada 11,914.29; FBMT 100 turun 27.16 mata kepada 11,565.42; FBM 70 rendah 24.85 mata kepada 15,692.77; FBM Emas Shariah menguncup 7.79 mata kepada 13,436.52 manakala FBM ACE naik 101.44 mata kepada 9,002.36.

Mengikut sektor pula, Indeks Perladangan susut 16.31 mata kepada 6,868.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 62.19 mata kepada 14,989.42 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.36 mata kepada 197.30

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat