Penjualan Honor Oleh Huawei Hampir Selesai?

463

Huawei dilaporkan merancang untuk menjual unit jenama telefon pintar Honor kepada konsortium yang diterajui oleh pengedar telefon, Digital China dan kerajaan Shenzhen.

Perkara itu didedahkan oleh sumber yang mengetahui dengan lebih mendalam mengenai perancangan berkenaan.

Menurut sumber tersebut, perjanjian itu dikatakan bernilai kira-kira AS$15.2 bilion atau 100 bilion yuan.

Rancangan terbabit dibuat susulan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Huawei Technologies Co Ltd, sekali gus memaksa syarikat pengeluar telefon pintar kedua terbesar dunia itu menumpukan sepenuhnya kepada segmen telefon pintar mercunya dan perniagaan berasaskan korporat.

Perjanjian yang membabitkan penjualan secara tunai itu merangkumi segala aset termasuklah jenama, keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta pengurusan rantaian bekalan.

Tambah sumber itu lagi, perancangan itu berkemungkinan diumumkan oleh Huawei pada Ahad ini.

Digital China yang turut bekerjasama dengan Huawei dalam beberapa perniagaan seperti pengkomputeran awan, merancang untuk membiayai sebahagian besar perjanjian itu menerusi pinjaman bank.

Selain Digital China, tiga lagi firma kewangan yang disokong oleh kerajaan Shenzhen akan turut terbabit dalam perjanjian itu dengan masing-masing memperoleh pegangan saham sebanyak 10 hingga 15%.

“Digital merupakan pengedar utama untuk Honor di China jadi kami berpendapat langkah ini akan membantu Honor mengekalkan pengaruhnya di China,” ujar pengarah penyelidik di Counterpoint, Tom Kang

Dedah sumber itu lagi, selepas penjualan itu selesai, Honor merancang untuk mengekalkan kebanyakan pasukan pengurusannya dan 7,000 lebih tenaga kerjanya serta akan kembali ke pasaran dalam tempoh 3 tahun lagi.

“Langkah itu dilihat drastik kerana jenama Honor dianggap penting kepada portfolio telefon pintar oleh Huawei,” ujar Naib Presiden Canalys, Nicole Peng.

Tambah Peng, perniagaan Internet of Things (IoT) Honor merupakan tarikan utama kepada para pembeli.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat