Penjualan Saham Ini Pengaruhi Prestasi Bursa Malaysia

727

Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan semula untuk dibuka tinggi pada hari ini susulan momentum belian aktif di pasaran meluas selain dipengaruhi prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 6.19 mata atau 0.40 peratus kepada 1,573.33 daripada 1,567.14 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 4.89 mata lebih tinggi kepada 1,572.03.

Bernama melaporkan, di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 374 berbanding 178, sementara 319 kaunter tidak berubah, 1,282 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 713.80 juta unit bernilai RM304.19 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd menjelaskan prestasi FBM KLCI mungkin dipengaruhi sekali lagi oleh penjualan drastik saham sarung tangan.

“Walaupun kami menjangkakan pembelian asas meluas hari ini, namun prestasi FBM KLCI mungkin bergelut dengan penjualan berterusan di kaunter syarikat sarung tangan.

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras pasaran meningkat dalam jajaran kecil iaitu 1,575 hingga 1,580 hari ini berikutan aktiviti pembelian semasa harga rendah dijangka berlaku selepas penyusutan semalam,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Rakuten Trade turut yakin pasaran serantau akan meningkat lebih tinggi pada hari ini selepas mengalami prestasi kukuh semalam, memandangkan Wall Street naik semula dengan ketara selepas beberapa hari mencatatkan penyusutan dalam keadaan ketidaktentuan berkaitan kadar faedah.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM8.12, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.23, TNB menokok lapan sen kepada RM10.40, IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM5.34, CIMB naik sembilan sen kepada RM4.31, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.51, dan Petronas Gas turun dua sen kepada RM16.26.

Saham sarung tangan, Top Glove turun 10 sen kepada RM4.80, Hartalega kurang dua sen kepada RM9.36 dan Supermax merosot 17 sen kepada RM4.19.

Bagi saham aktif, GFM meningkat 6.5 sen kepada 47 sen, Straits Interlogistics naik 3.5 sen kepada 23.5 sen, MSM Malaysia menokok empat sen kepada RM1.32, Pegasus Heights tidak berubah pada dua sen, EA Holdings dan Jadi Imaging masing-masing kurang setengah sen kepada kepada empat sen dan 13 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 51.02 mata kepada 11,613.23, Indeks FBMT 100 naik 48.74 mata kepada 11,297.03 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 35.04 mata kepada 12,923.84.

FBM 70 meningkat 83.52 mata kepada 15,556.85 dan FBM ACE melonjak 98.54 mata kepada 10,803.91.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.29 mata kepada 184.41 dan Indeks Perladangan turun 15.23 mata kepada 7,136.96.

Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 118.66 mata kepada 15,078.31.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat