Pandangan Kalendar Ekonomi Sepanjang Minggu Hadapan (7-11 November 2016)

80

Ini adalah berita-berita yang akan menjadi tema utama pasaran dunia sepanjang minggu ini iaitu, data Imbangan perdagangan China (Trade balance),  Pilihanraya presiden US, Jumlah inventori minyak (crude oil inventories), Penetapan kadar faedah New Zealand (official cash rate), data sentiment pengguna (Prelim UoM Consumer Sentiment) dan akhir sekali ialah ucapan gabenor bank pusat Kanada di Santiago.

Minggu lepas merupakan minggu yang agak sibuk bagi pemain-pemain pasaran dunia termasuk juga para spekulator pasaran matawang di Malaysia. Mana tidaknya, lihat saja news di Forex Factory yang penuh dengan news berwarna merah. Dengan mesyuarat bank pusat utama dunia seperti Jepun, Australia, US dan tak kurang juga data berimpak besar yang lain seperti Indeks syarikat pembuatan China, KDNK Kanada (GDP), Indeks Harga GDT, data-data perdagangan dan juga paling penting laporan data gunatenaga terutamanya NFP.

Bukan itu sahaja, pasaran matawang khususnya tidak pernah terlepas dengan sentiment semasa pasaran yang sering memberikan kejutan kepada pasaran. Minggu lepas sentimen pilihanraya presiden US iaitu pungutan suara yang dibuat oleh agensi berita ABC banyak memberi kesan kepada pasaran. Di tambah lagi dengan isu Brexit dimana Perdana Menteri Britain tidak dibenarkan oleh Hakim untuk memenuhi Article 50 tanpa persetujuan Parlimen menyebabkan volatility (turun-naik) yang tak dijangka.

Tanpa membuang masa lagi mari kita lihat berita-berita besar minggu ini yang semua trader perlu tahu.

Imbangan Perdagangan China (China Trade Balance), Selasa, Pagi.

China akan mengeluarkan data ini pada hari selasa sekitar pukul 11 pagi sehingga 2 petang. Pada bulan lepas China mencatatkan trade surplus sebanyak $278 bilion dan dijangkakan data bulan ini meningkat kepada $366 bilion. Imbangan perdagangan adalah hasil eksport tolak import yang mana jika hasilnya positif, ia dipanggil trade surplus (lebihan dagangan) dan sebaliknya dipanggil trade defisit (kurangan dagangan).

Eksport melebihi import baik untuk sesebuah Negara kerana menunjukkan Negara itu banyak menjual barang ke Negara lain dan begitu juga sebaliknya. Eksport yang tinggi menunjukkan pengaliran wang asing ke dalam Negara yang mampu menaikkan nilai matawang tersebut. Tidak lupa juga Australia sebagai pengeksport terbesar kuprum (copper) ke China akan mendapat kesan daripada data ini.

Pilihanraya Presiden US, Rabu pagi.

Pilihanraya presiden US akan menjadi perhatian utama dunia pada minggu ini. Semua trader perlu berhati-hati dalam tempoh ini kerana dijangkakan akan lebih banyak kejutan pasaran akan berlaku seperti Brexit Jun lepas. Ada juga yang mengatakan Pilihanraya presiden US ini adalah lima kali lebih besar kesannya berbanding Brexit.

Apa yang dapat dilihat setakat ini pasaran memberi respon positif kepada kemenangan Clinton berbanding Trump. Clinton sebagai calon Demokrat dilihat tidak akan melakukan banyak perubahan kepada polisi US kerana faktor dari parti yang sama dengan Barack Obama. Trump pula sudah menyatakan akan mengurangkan cukai korporat dan mungkin akan memansuhkan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) kerana baginya hanya bayak merugikan US. Trump juga dilihat akan mempengaruhi kebebasan The Federal Reserve (bank pusat) sebagai pembuat polisi monetary. Hal inilah yang sebenarnya tidak disukai oleh pelabur-pelabur kerana ketaktentuan dalam polisi Negara dan ekonomi yang akan mengganggu pelaburan mereka. Ketaktentuan inilah yang akan kita saksikan pada Rabu nanti. Keputusan undian dijangka akan diketahui pada Rabu 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Stok minyak mentah US (US Crude Oil Inventories), Rabu 11.30 malam.

Pada minggu lepas, stok minyak mentah US meningkat kepada 14 juta tong pada minggu yang berakhir pada 28 Oktober yang merupakan jumlah terbesar yang pernah dicatatkan walaupun kurangnya import dan projek carigali sejak akhir-akhir ini. Data ini akan menjadi tumpuan trader minyak dan peminat matawang komoditi seperti Dollar Kanada. Sebarang peningkatan inventori akan memberi tekanan ke atas harga minyak dunia dan kejatuhan nilai dolar Kanada.

Penetapan Kadar Faedah New Zealand  (Official Cash Rate), Khamis 4.00 pagi.

Bank pusat ini telah melonggarkan polisinya beberapa kali sepanjang tahun ini untuk mencapai sasaran inflasi. Kali terakhir bank pusat memotong kadar faedah ialah pada Ogos lepas kepada 2%. Mesyuarat RBNZ seterusnya akan berlangsung pada 10 November ini. Bank pusat New Zealand mensasarkan kadar inflasi pada kadar 1.0%-3.0% dalam keadaan ekonomi global yang tak menentu ini. Inflasi jangka panjang bagi perniagaan di New Zealand tidak berubah pada suku ketiga yang mencatatkan bacaan 1.7%. Hal ini memberi skop yang lebih besar kepada bank pusat New Zealand (RBNZ) dalam polisi monetari (kewangan). Manakala data gunatenaga (buruh) New Zealand meningkat pada suku ketiga dengan kadar pengangguran turut berkurang memberikan gambaran ekonomi yang agak baik bagi negara All black ini. Gunatenaga naik 1.4% daripada suku kedua yang menunjukkan peningkatan lebih dari jangkaan 0.6% berbanding 2.4% pada suku sebelum itu. Secara keseluruhannya data-data yang dikeluarkan sejak akhir-akhir ini adalah baik. Pun begitu, penganalisis menjangkakan kadar akan diturunkan kepada 1.75% yang pada dasarnya akan melemahkan dolar New Zealand.

Sentimen Pengguna (US Prelim UoM Consumer Sentiment), Jumaat 11 malam.

Data ini adalah data yang dibuat oleh Universiti Michigan. Tinjauan dibuat bagi menanyakan pendapat tentang tahap keadaan ekonomi kepada 500 orang pengguna. Keyakinan pengguna jatuh ke paras terendah sejak 2 tahun lepas berikutan ketaktentuan dan kerisauan kepada ekonomi menjelang pilihanraya presiden. Bulan lepas indeks ini jatuh kepada 87.2 daripada 91.2. Penganalisis menjangkakan data akan mencatatkan bacaan sekitar 87.4. Sebarang data positif akan menguatkan dolar US, namun ia tetap bergantung kepada sentimen pilihanraya presiden yang menjadi factor utama penggerak pasaran minggu ini.

Ucapan Poloz di Santiago (Stephen Poloz speaks), Jumaat 11.50 malam.

Gabenor bank pusat Kanada akan berucap di Konferens Tahunan Bank Pusat Chile di Santiago. Dalam ucapannya baru-baru ini, Poloz membincangkan tentang penggunaan inflation targeting (sasaran inflasi) yang telah digunapakai selama 25 tahun. Beliau tetap yakin dengan pendekatan ini yang telah lama digunakan. Poloz juga mengatakan tentang kestabilan kewangan yang mana beliau yakin pendekatan yang digunakan oleh bank pusat adalah yang terbaik untuk menguruskan risiko dalam pasaran kewangan. Selain itu, pihak kerajaan juga telah banyak membantu dalam kestabilan sektor perumahan dengan pengenalan regulasi yang lebih ketat untuk pinjaman perumahan. Kenapa ucapan gabenor bank pusat penting? Kerana dia mampu mempengaruhi polisi monetari semasa sesebuah Negara yang akan memberi kesan langsung ke atas nilai matawang Negara itu.

Semoga berjaya kepada anda semua.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat