Pepsi Number Fever Gemparkan Filipina

250

Siapa sahaja yang tidak mengenali jenama minuman popular, Pepsi. Jika anda sering berkunjung ke restoran makanan segera atau pun panggung wayang, Pepsi merupakan pilihan yang disediakan untuk para pelanggan.

Namun, tahukah anda, disebabkan Pepsi, telah tercetusnya insiden rusuhan dan pembunuhan dekat Filipina sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang.

Pada tahun 1992, Pepsi Filipina (PCPPI) mula rasa tercabar dengan populariti minuman Coca Cola kerana pada waktu itu, penjualan Coca Cola dalam pasaran negara terbabit mencecah 75% tetapi Pepsi hanya mengaut 17% sahaja.

Maka PCPPI merancang strategi pemasaran dengan menganjurkan acara cabutan bertuah atau dikenali sebagai ‘Number Fever’. Setiap penutup botol Pepsi, Mirinda dan 7-Up diletakkan tiga digit nombor dan kod sekuriti sebagai pengesahan.

Nombor yang bertuah akan dikira sebagai pemenang. Hadiah bagi acara adalah sekitar AS$4 hingga AS$40,000 untuk hadiah utama.

Strategi tersebut memang berjaya, rakyat Filipina berpusu-pusu membeli minuman Pepsi dengan harapan untuk menang.

Keuntungan Pepsi pun meningkat 40% dalam tempoh dua minggu pertama acara tersebut diadakan dan pasaran saham PCPPI melonjak daripada 4% kepada 24.9%.

Setiap hari PCPPI akan mengadakan siaran langsung di televisyen untuk mengumumkan nombor yang bertuah. PCPPI juga memastikan dana yang dikeluarkan untuk keseluruhan kempen tidak melebih AS$2 juta.

Menjelang Mei, sebanyak 51,000 hadiah telah ditebus termasuklah 17 hadiah utama.

Boleh dikatakan seluruh keluarga di Filipina akan menunggu di hadapan televisyen pada setiap malam dengan harapan supaya nombor mereka diumumkan sebagai pemenang.

Pada 25 Mei, PCPPI mengumumkan nombor yang memenangi hadiah utama bernilai AS$40,000 adalah 349.

Tetapi tanpa diduga, PCPPI yang sepatutnya mencetak siri nombor tersebut pada dua botol, telah melakukan kesilapan besar. Disebabkan masalah teknikal yang berlaku, syarikat itu sebenarnya telah mencetak nombor itu pada 800,000 botol namun tanpa kod sekuriti.

Oleh itu, mereka yang diumumkan sebagai pemenang pergi menuntut hadiah terbabit namun Pepsi enggan membayar sejumlah wang yang terlalu banyak kepada mereka atas alasan kesemua penutup botol terbabit tidak mempunyai kod sekuriti.

Sekiranya PCPPI ‘melayan’ desakan kesemua 800,000 orang itu, mereka terpaksa mengeluarkan wang sebanyak kira-kira AS$32 bilion.

Ekoran kesilapan tersebut, PCPPI menawarkan wang tunai AS$18 kepada kesemua pemenang namun tindakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan semua pemenang.

Sekumpulan petunjuk perasaan yang dikenali sebagai Pakatan 349 mula melakukan tunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat PCPPI dan kerajaan di Manila selama lima hari.

Sebanyak 37 trak Pepsi dibakar, dibaling batu dan diterbalikkan sehingga polis terpaksa campur tangan dengan membaling gas pemedih mata ke arah petunjuk perasaan. Dua orang maut dalam kejadian terbabit.

Terdapat segelintir petunjuk perasaan yang bertindak membaling bom tangan ke arah gudang PCPPI di Davao sehingga menyebabkan tiga orang maut. Malahan, eksekutif PCPPI turut menerima ugutan bunuh.

Segelintir pihak mendakwa PepsiCo mengupah tentera untuk merancang serangan tersebut dengan tujuan untuk menuduh para petunjuk perasaan sebagai kumpulan pengganas. Namun ahli Parlimen Filipina, Gloria Macapagal-Arroyo menyatakan kemungkinan serangan itu dilakukan oleh syarikat pesaing yang cuba mengambil kesempatan ke atas kerapuhan PCPPI ketika itu.

Insiden tersebut juga menyebabkan penjualan Pepsi jatuh mendadak dan tambah memburukkan keadaan apabila kira-kira 22,000 orang telah memfailkan tuntutan undang-undang terhadap PepsiCo, membabitkan 689 saman sivil serta 5,200 aduan jenayah.

Bagaimanapun, pada tahun 2006, Mahkamah Agung Filipina telah membebaskan PepsiCo daripada semua tuduhan jenayah.

Peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita semua iaitu dengan hanya satu kesilapan, perkara buruk boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat