Perang Harga Makin Hangat, Arab Saudi Dan Rusia Saling Berbalas Serangan!

1,239

Pengeksport minyak terbesar di dunia, Arab Saudi terus menghangatkan perang harganya dengan Rusia apabila firma milik negara, Saudi Aramco berkata akan meningkatkan pengeluaran kepada 12.3 juta tong sehari pada bulan depan.

Sejak beberapa bulan sebelum ini, Arab Saudi telah mengeluarkan sekitar 9.7 juta tong sehari tetapi masih terdapat kapasiti pengeluaran tambahan yang boleh ditingkatkan selain turut mempunyai ratusan juta tong bekalan minyak mentah.

Berikutan daripada itu, Menteri Tenaga Rusia Alexander Novak pula membalas dengan memberitahu bahawa syarikat minyaknya mempunyai keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 500,000 tong sehari.

Ini akan menyebabkan pengeluaran dari negara itu berpotensi untuk meningkat kepada 11.8 juta tong sehari iaitu merupakan rekod terbaru dalam pengeluaran minyak mentah Rusia.

Kegagalan pakatan Arab Saudi dan Rusia pada Jumaat telah mendorong kejatuhan 30% dalam harga minyak pada awal minggu ini, sekali gus menyebabkan jualan panik di Wall Street dan pasaran ekuiti lain yang sebelum ini terjejas teruk akibat impak COVID-19.

Sementara itu, harga minyak kembali mempamerkan peningkatan pada dagangan Asia hari ini disokong oleh harapan bahawa pengeluar Amerika Syarikat akan mengurangkan pengeluarannya.

Occidental Petroleum pada Selasa mengikuti pengeluar minyak Amerika Utaea untuk memotong perbelanjaan dan pengeluaran selepas harga minyak jatuh ke paras terendah lebih 3 tahun.

Niaga hadapan WTI Amerika Syarikat meningkat hampir 3% untuk diniagakan sebanyak $35.38 setong manakala minyak mentah Brent menokok 3.5% kepada $38.62 setong.

Bagaimanapun, peningkatan ini dikatakan tidak akan kekal lama memandangkan kedua-dua pengeksport minyak terbesar dunia itu masih berbalas serangan dalam perang harga yang tercetus sejak Sabtu lalu.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat