Perang Palestin-Israel Masih Belum Tamat

492

Sebelum ini, kecoh di media massa, media elektronik malahan media sosial tentang peperangan di antara Palestin dan Israel.

Peperangan selama 11 hari tu menyebabkan kira-kira 256 orang rakyat Palestin mau termasuklah 66 kanak-kanak.

Tahukah anda, konflik yang berlaku baru-baru antara kedua-dua pihak bukanlah baharu tetapi telah terjadi sejak 100 tahun lalu.

Dalam artikel kali ini, penulis ingin ‘menyelongkar’ punca sebenar mengapa Palestin dan Israel sering berperang antara satu sama lain.

Selepas kerajaan Uthmaniyah tewas dalam Perang Dunia Pertama, Britain menguasai kawasan yang diberi nama ‘Palestin’.

Palestin terletak di antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean. Pada waktu itu, Palestin dihuni oleh majoriti kaum Arab dan segelintir minoriti golongan Yahudi.

Britain ketika itu menawarkan Palestin sebagai ‘rumah’ kepada golongan Yahudi. Keputusan itu merupakan salah satu keputusan yang paling kontroversi serta dipertikaikan dalam sejarah moden dunia Arab.

Keputusan tersebut telah membingungkan para sejarawan dunia selama beberapa dekat kerana Britain sanggup mendirikan penempatan untuk golongan Yahudi sedangkan golongan Yahudi ketika itu hanya mempunyai populasi kurang 10% daripada jumlah penduduk.

Walaupun ramai yang beranggapan Britain membuat keputusan itu kerana kebanyakan pemerintahnya pada ketika itu adalah berpihak kepada rejim Zionis tetapi ada juga pandangan lain yang diterima oleh orang ramai.

Antaranya adalah penguasaan ke atas Palestin merupakan satu penjajahan yang strategik untuk menjaga Mesir dan Terusan Suez.

Pandangan yang kedua ialah Britain perlu berbuat baik dengan rejim Zionis untuk meraih sokongan golongan Yahudi di Amerika Syarikat (AS) bagi membantu Britain menang dalam peperangan.

Selain itu, Britain juga dikatakan bersimpati dengan nasib golongan Yahudi yang diseksa di Eropah.

Disebabkan itu, mandat Britain yang digelar sebagai Deklarasi Balfour telah ditandatangani. Bagaimanapun, deklarasi tersebut merupakan titik sengsara bagi Palestin.

Pada sekitar tahun 1920an hingga 1940an, golongan Yahudi melarikan diri daripada penganiayaan dan tragedi Holocaust yang menimpa mereka di Eropah.

Selepas itu, keganasan antara kaum Arab Yahudi dan Britain bermula. Pada 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memutuskan untuk membahagikan Palestin kepada dua antara negara penduduk Arab dan Yahudi.

Baitulmuqaddis iaitu tanah suci bagi kedua-dua agama Islam dan Yahui akan dijadikan sebagai bandar antarabangsa. Golongan Yahudi menyambut baik cadangan itu tetapi kaum Arab menolak sekeras-kerasnya.

Pada 1948, Britain terpaksa mengundurkan diri daripada pertikaian antara golongan Arab dan Yahudi kerana tidak mampu menyelesaikan masalah antara kedua-dua pihak.

Pemimpin Yahudi ketika itu secara mengejut mengumumkan pembentukan Israel dan disokong oleh Presiden AS waktu itu, Harry Truman.

Tindakan terbabit menyebabkan penduduk Palestin kurang senang, maka perang pun tercetus.

Perang itu turut melibatkan beberapa negara Arab lain seperti Arab Saudi dan Mesir.

Perang tersebut bagaimanapun merupakan satu malapetaka bagi penduduk Palestin dan memberi kemerdekaan kepada Israel.

Berikutan perang berkenaan, ratusan ribu penduduk Palestin melarikan diri dan rejim Zionis berjaya menguasai sebahagian besar tanah Palestin.

Jordan yang berpihak dengan penduduk Palestin, menguasai kawasan Tebing Barat manakala Mesir pula menguasai Gaza.

Baitulmuqaddis pula terbahagi antara rejim Zionis dan tentera Jordan.

Pada 5 Jun 1967 iaitu permulaan peristiwa Perang Enam Hari, telah mengubah peta Palestin semula.

Israel menguasai Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan wilayah yang lain. Paling memburukkan keadaan, ramai penduduk Palestin tinggal di Gaza dan Tebing Barat.

Rejim Zionis bagaimanapun menyekat penduduk Palestin daripada pulang kerana didakwa akan menimbulkan huru-hara dan mengganggu kedudukan Israel sebagai ‘negara’ Yahudi.

Sehingga ke hari ini, Israel masih menguasai Tebing Barat.

Berbalik kepada Baitulmuqaddis. Mengapa Baitulmuqaddis menjadi perebutan antara penduduk Palestin dan golongan Yahudi?

Baitulmuqaddis merupakan tanah suci bagi 3 agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi.

Israel mendakwa keseluruhan Baitulmuqaddis Timur adalah ibu negaranya. Sejak 50 tahun lalu, Israel membina penempatan haram di Baitulmuqaddis.

Lebih 600,000 penduduk Yahudi tinggal di situ namun rakyat Palestin menegaskan tindakan rejim Zionis itu adalah dari segi undang-undang antarabangsa.

Sebenarnya terdapat banyak usaha untuk berdamai namun penyelesaian yang dicari menemui jalan buntu.

Bermula pada 1979 hingga 1990an, pemimpin Palestin dan Israel melakukan rundingan untuk mencari penyelesaian dua negara.

Konflik antara Palestin-Israel kembali tercetus pada tahun 2000 serta 2008. Pelan damai yang terbaharu dicadangkan oleh bekas Presiden AS, Donald Trump pada Januari 2020.

Pelan itu disifatkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai ‘perjanjian abad ini’ namun Palestin mendakwa perjanjian itu adalah berbentuk berat sebelah.

Konflik terbaharu tercetus pada 6 Mei sehingga 21 Mei ketika penduduk Palestin masih lagi menyambut bulan Ramadan. Mereka terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri demi mempertahankan tanah air daripada kekejaman rejim Zionis.

Meskipun gencatan senjata dicapai selepas 11 hari konflik, namun rejim Zionis sekali lagi bertindak menyerang penduduk Palestin selepas itu.

Persoalan yang tercetus dalam benak penduduk dunia, di manakah negara-negara Arab lain ketika Palestin diserang? Apakah peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menangani konflik itu? Sampai bila penduduk Palestin terpaksa menanggung penderitaan diseksa oleh rejim Zionis?

Hanya masa yang menentukan.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat