Peraturan Eksport Teknologi Tinggi Diketatkan – AS Gusar Dengan Kemajuan Tentera China?

578

White House dilaporkan telah mengetatkan peraturannya untuk menghalang China daripada mendapatkan teknologi yang maju dari Amerika Syarikat bagi tujuan komersial dan digunakan untuk ketenteraan, menurut sumber yang memberitahu Reuters.

Pegawai kanan AS dikatakan telah mempersetujui tiga peraturan yang diusulkan dalam mesyuarat pada Rabu tetapi masih belum dimuktamadkan. Ia akan digunakan untuk menghentikan syarikat China daripada membeli bahan optik tertentu, peralatan radar dan semikonduktor dari negara itu.

Peraturan pertama dikatakan akan menghapuskan pengecualian awam yang membolehkan eksport teknologi tertentu AS tanpa lesen, manakala yang kedua akan menghentikan tentera China daripada mendapatkan barang tertentu tanpa lesen, walaupun ia dibeli untuk kegunaan awam.

Seterusnya, syarikat asing yang menghantar barangan tertentu dari AS ke China, perlu memohon kelulusan terlebih dahulu, bukan sahaja dari kerajaan mereka, malah juga daripada Amerika Syarikat.

Sekiranya dilaksanakan, ia pastinya akan terus menambah tekanan kepada kegoyahan hubungan antara AS dan China, di mana sebelum ini kedua pihak tidak mempunyai kesefahaman dalam teknologi serta sering berbalas tuduhan mengenai cara pengendalian wabak coronavirus.

Selain itu, ia juga turut menggambarkan kegelisahan pentadbiran Trump terhadap gabungan tentera China yang dibangunkan oleh Presiden Xi Jinping yang bertujuan untuk menguatkan lagi ketenteraannya dan membangunkan penggunaan teknologi.

Bagaimanapun, ia masih tidak jelas sama ada Presiden Donald Trump akan menandatanganinya, malah White House, Jabatan Perdagangan dan Kedutaan China di Washington juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat