Perbualan Bersama Putin, Biden Bangkitkan Isu Sensitif

524

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengadakan perbincangan melalui telefon semalam dengan rakan sejawatannya dari Rusia iaitu Vladimir Putin bagi membincangkan mengenai beberapa isu sensitif membabitkan kedua-dua negara.

Bernama memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh White House sebagai berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan laporan mengenai Rusia memberi ganjaran kepada tentera AS di Afghanistan yang mencetuskan kemarahan Washington terhadap Kremlin.

Biden dan Putin turut membincangkan kesediaan kedua-dua negara untuk meneruskan perjanjian pengurangan senjata strategik (START) Rusia-Amerika Syarikat (AS) selama lima tahun.

Selain itu, AS dan Rusia bersetuju agar pegawai kedua-dua negara segera menyelesaikan perkara berkaitan perjanjian itu menjelang 5 Februari kelak.

Biden turut membangkitkan isu berhubung campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden AS tahun lalu dan kes pengkritik Kremlin iaitu Aleksey Navalny.

Biden juga memberitahu Putin bahawa Washington akan mempertahankan kepentingannya sebagai tindak balas terhadap tindakan Kremlin yang boleh membahayakan AS atau sekutu AS.

Tambah kenyataan tersebut, kedua-dua pemimpin itu turut mencapai kata sepakat untuk mengadakan rundingan lebih lanjut mengenai kawalan senjata dan isu keselamatan lain.

Di samping itu, Biden juga menegaskan sokongan AS untuk kedaulatan Ukraine. Negara itu kerap kali berdepan konflik dengan Rusia sejurus Kesatuan Soviet dibubarkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat