Ketidakpastian terhadap rundingan Brexit dilihat semakin meningkat apabila pelbagai isu timbul menjelang pengunduran Britain daripada EU pada hujung bulan ini.
Hal ini telah meningkatkan kebimbangan dan mendorong matawang pound untuk menyusut lebih rendah dalam tempoh tiga minggu berbanding euro.
Sebuah agensi majalah UK, Spectator melaporkan pendirian tegas PM UK Boris Johnson dan bersedia untuk meninggalkan EU dengan no-deal Brexit susulan laporan mengenai pelan cadangannya ditolak oleh EU.
Berdasarkan laporan berasingan oleh BBC, rundingan Brexit dikatakan akan terputus kecuali jika Britain menerima Ireland Utara untuk kekal dalam kesatuan kastam EU, menguatkan lagi andaian bahawa kesepakatan antara kedua-dua pihak ini tidak akan dicapai.
Selain itu, merujuk kepada laporan Institut Pengajian Fiskal (IFS) UK bahawa jika berlaku no-deal Brexit, kerajaan dijangkakan akan bertindak untuk mengimbangi ekonomi dan seterusnya akan menyebabkan negara itu menanggung hutang yang tinggi disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan kerajaan.
Ketidakpastian ini telah mendorong pound untuk jatuh ke tahap lebih rendah pada $1.2276 berbanding dolar Amerika dan menyusut 0.3% berbanding euro iaitu paling rendah dalam tempoh tiga minggu.
Penyusutan pound juga didorong oleh euro yang mengalami peningkatan pada awal dagangan berikutan laporan pengeluaran industri Jerman meningkat lebih tinggi dalam tempoh lima bulan namun dikatakan pergerakan tersebut hanya sementara memandangkan ia tidak banyak mempengaruhi pertumbuhan negara itu.