Perlumbaan Menjajah Angkasa Lepas: Jeff Bezos vs Elon Musk

653

Antara Elon Musk dan Jeff Bezos, siapakah yang akan berjaya ‘menjajah’ angkasa dahulu?

Untungnya, kita hidup ketika zaman manusia berlumba-lumba mahu ke angkasa lepas.

Dua usahawan terkaya dunia, Bezos dan Musk sedang berusaha membawa manusia ke angkasa lepas.

Jangan salah faham, memang manusia sudah ke Bulan atau Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tetapi itu hanyalah melibatkan angkasawan yang telah menjalani latihan selama berbulan-bulan malahan bertahun lamanya.

Tetapi Bezos dan Musk mempunyai impian untuk membawa semua manusia tanpa mengira pangkat ke angkasa lepas, asalkan anda mempunyai wang yang banyak untuk membayar perkhidmatan mereka.

Musk dan Bezos mempunyai motif yang berbeza tentang impian mereka untuk ‘menjajah’ angkasa lepas.

Musk percaya manusia berisiko untuk pupus akibat perubahan iklim, ancaman daripada teknologi kepintaran buatan (AI) atau Bumi diserang.

Beliau yakin manusia akan selamat jika tinggal di beberapa planet lain. Disebabkan itu, Musk berhajat mahu menjajah Marikh.

Lain pula ceritanya dengan Bezos. Beliau percaya Bumi tiada gantinya dan mahu memelihara serta memajukan planet ini untuk generasi akan datang.

Oleh itu, beliau mahu menakluk angkasa lepas untuk mendapatkan sumber dan tenaga yang tiada batasan. Lebih-lebih lagi sumber bahan mentah yang terdapat di Bulan.

Syarikat Blue Origin yang dibangunkan oleh Bezos menganggap mereka ini seperti kura-kura di dalam kisah dongeng arnab berlumba dengan kura-kura.

Mereka menyifatkan ‘watak utama perlu kalah dahulu sebelum berjaya ke garisan penamat’.

Pada bulan Mei tahun lalu, SpaceX milik Musk menjadi syarikat swasta pertama yang menghantar manusia ke orbit dengan menerbangkan dua angkasawan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) ke ISS.

Sebaliknya, Blue Origin belum lagi melancarkan roket ke orbit, apatah lagi menghantar manusia.

Untuk memastikan cita-cita mereka itu menjadi kenyataan, kos setiap pelancaran roket perlu dikurangkan.

Kebiasaannya, roket yang telah dilancarkan tidak boleh digunakan lagi.

Fokus mereka ketika ini adalah memikirkan bagaimana cara untuk memastikan roket ciptaan mereka boleh digunakan berulang kali.

Pada bulan Disember 2015, SpaceX berjaya mendaratkan Falcon 9 Booster kembali ke Bumi. Itu merupakan kejayaan terbesar untuk SpaceX.

Sementara itu, Blue Origin masih belum ‘bersedia’ untuk melancarkan roket ke orbit. Bagaimanapun syarikat berkenaan masih terus mengembangkan ciptaan ‘booster’ roket yang boleh dipakai semula.

Roket ciptaan Blue Origin dijangka akan dilancarkan ke angkasa pada tahun ini.

SpaceX ketika ini sedang fokus untuk memajukan roket yang boleh digunakan semula iaitu Starship. Roket tersebut akan digunakan untuk membawa manusia ke Bulan, Marikh dan kembali semula ke Bumi.

Walaupun Blue Origin dilihat jauh ketinggalan berbanding pesaingnya tetapi Bezos tidak risau, bersesuaian dengan moto Blue Origin iaitu Gradatim Ferociter yang bermaksud langkah demi langkah yang ganas dalam bahasa Latin.

Blue Origin secara senyap-senyap telah menghasilkan roket yang diberi nama New Amstrong. Roket itu berkemungkinan boleh digunakan semula sepenuhnya.

Syarikat berkenaan juga semakin baik dari aspek pelancaran dan pendaratan. Pada November 2015, roket New Shepard berjaya mendarat kembali ke Bumi untuk pertama kalinya.

Bagaimanapun, New Shepard ini tidak dicipta untuk melepasi orbit. Roket tersebut hanya bergerak antara sempadan atmosfera dan ruang angkasa Bumi.

Roket terbabit akan digunakan untuk para pelancong melancong ke angkasa pada masa hadapan.

SpaceX pula bertindak laju dan agresit kerana perlu berebut kontrak dari awal penubuhannya.

Musk melaburkan duitnya sendiri iaitu sebanyak 100 juta dolar ke dalam SpaceX yang ditubuhkan oleh beliau pada 2002.

SpaceX telah melakukan 3 pelancaran roket tetapi kesemuanya gagal, sebelum Falcon 1 berjaya dilancarkan ke orbit pada 2008.

Bagaimanapun, SpaceX pernah berdepan situasi hampir muflis tetapi NASA datang dengan kontrak bernilai AS$1.6 bilion, sekali gus ‘menyelamatkan’ SpaceX.

Jadi, siapakah yang anda rasakan akan menakluk angkasa dahulu? SpaceX atau Blue Origin? Atau pun kedua-duanya akan berjaya menakluk angkasa dengan matlamat masing-masing?

Sama-sama kita semua nantikan.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat