Permulaan Oktober, Bursa Dibuka Rendah

125

Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pagi ini dengan pasaran ekuiti Asia turut lengang berikutan cuti umum di China, Hong Kong dan Korea Selatan.

Ini sekali gus menandakan permulaan yang agak lesu bagi suku terakhir untuk tahun ini selepas mencatatkan perolehan pada sesi urus niaga sebelumnya.

Lapor Bernama, pasaran ditutup untuk urus niaga di China sempena sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh dan Hari Kebangsaan, Hong Kong untuk Hari Kebangsaan dan Korea Selatan sempena Hari Kesyukuran.

Pasaran tempatan pada Rabu berjaya mempertahankan keuntungan yang direkodkan (+0.1 peratus) selepas mengalami beberapa situasi turun naik pada jam kesebelas urus niaga, disokong sepenuhnya oleh saham perbankan berwajaran tinggi.

Saham-saham berharga murah, bagaimanapun, ditutup bercampur-campur dengan pergerakan harga keseluruhan pasaran ditutup kebanyakannya rendah dengan sektor tenaga (-1.6 peratus) kerugian selepas harga minyak mentah turun dengan ketara pada sesi sebelumnya.

Pada pembukaan, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ialah pada 1,500.00, jatuh 4.82 mata daripada 1,504.82 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks utama dibuka rendah sebanyak 3.24 mata kepada 1,501.587.

Di pasaran yang lebih luas bagaimanapun, kaunter untung mengatasi rugi dengan julat yang agak tipis iaitu 191 berbanding 184 sementara 229 kaunter tidak berubah, 1,485 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 330.57 juta unit bernilai RM114.79 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd bagaimanapun berpendapat, sebarang keuntungan yang dicatatkan hari ini akan sedikit terjejas oleh peluang untuk menjual apabila saham meningkat, terutamanya dana asing (aliran keluar bersih sejak awal tahun sehingga kini berjumlah RM22.3 bilion).

Untuk fokus sektor hari ini, ia memilih sektor teknologi di sebalik tinjauan menggalakkan sektor ini.

Minat urus niaga juga kian meningkat dalam kalangan sektor pembinaan menjelang pembentangan Belanjawan 2021 yang akan menyediakan petunjuk seterusnya mengenai projek-projek infrastruktur mega.

Seorang penganalisis berkata, pasaran hari ini juga akan dipengaruhi oleh sentimen positif, dipacu oleh data pewujudan pekerjaan AS yang lebih tinggi daripada dijangkakan untuk bulan September 2020.

Pasaran saham semalaman AS bangkit semula dengan Dow mengukuh 1.2 peratus.

“Bagaimanapun, bulan Oktober dijangkakan tidak menentu menjelang pilihan raya presiden AS pada November,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun enam sen kepada RM7.16, Top Glove jatuh empat sen kepada RM8.26, Public Bank kekal pada RM15.70 dan Tenaga naik empat sen kepada RM10.54.

Saham-saham paling cergas pula, XOX turun satu sen kepada 12 sen, Dolphin International waran naik dua sen kepada 2.5 sen dan Iris Corp lebih tinggi sebanyak 1.5 sen kepada 29.5 sen.

Saham paling untung termasuk F&N yang melonjak 50 sen kepada RM32.60, UP naik 24 sen kepada RM14.88 dan Time Dotcom mengukuh 20 sen kepada RM12.20.

Bagi kaunter paling kerugian, Nestle mendahului senarai dengan merosot RM1.40 kepada hingga RM140.00 dan Ajinomoto naik 42 sen kepada RM15.28.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 28.60 mata kepada 10,8802.96 dan Indeks FBMT 100 meyusut 25.60 mata kepada 10,635.10.

Indeks FBM Emas Shariah turun 38.21 mata kepada 12,862.73, FBM 70 lebih rendah 0.61 mata kepada 14,128.21 tetapi FBM ACE menambah 5.66 mata kepada 9,919.67.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 41.55 mata kepada 12,436.07, Indeks Perladangan jatuh 24.39 mata kepada 7,025.84 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.12 mata kepada 136.97.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat