Permulaan Positif Buat Euro, Terus Mengukuh Berbanding USD Sejak Minggu Lalu

496

Matawang Euro meningkat ke paras tertinggi tiga bulan pada awal dagangan permulaan minggu ini dengan jangkaan matawang dolar Amerika Syarikat yang kekal lemah ekoran prospek penurunan kadar faedah dalam jangka masa terdekat oleh Federal Reserve (Fed).

Euro meneruskan kenaikan yang dilakukan pada minggu lalu pada sesi pasaran Asia hari ini ke paras tertinggi sejak dagangan Mac lalu.

Dagangan Euro pada Jumaat lalu turut didorong oleh data PMI pada zon Eropah yang secara keseluruhannya mencatatkan bacaan yang baik terutamanya pada Jerman sebagai ekonomi terbesar yang mencatatkan angka bacaan meningkat daripada data sebelum ini.

Indeks dolar yang mengukur kekuatan USD berbanding matawang utama yang lain berlegar di sekitar paras 96.135 selepas mencecah penurunan pada 96.093 pada Jumaat lalu, iaitu paras terendah sejak 21 Mac susulan Fed yang lebih terbuka untuk tindak penurunan kadar seawal bulan hadapan.

Tekanan pada dagangan USD menjadi faktor menyokong kenaikan matawang lawannya iaitu Euro yang berdepan masalah termasuk isu hutang Itali dan juga kebarangkalian European Central Bank (ECB) akan melonggarkan polisi monetari.

USD juga terus mengalami tekanan berbanding matawang Yen berikutan faktor ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat yang kembali hangat baru-baru ini. Sentimen pasaran yang berisiko memberi kelebihan terhadap Yen sebagai matawang safe-haven untuk mengukuhkan dagangannya.

Isu serangan kapal tangki minyak meningkatkan lagi ketegangan apabila Washington menuduh Tehran bertanggungjawab terhadap insiden tersebut namun Tehran menafikan pembabitan mereka. Insiden tersebut telah mendorong kenaikan harga minyak mentah dan meningkatan dagangan dolar Kanada di mana minyak mentah menjadi eksport terbesar mereka.

Namun, ketidaktentuan juga timbul apabila China yang merupakan antara pengguna terbesar minyak mentah masih dilanda ketegangan bersama Amerika Syarikat. Tumpuan pasaran pada minggu ini akan terarah pada perkembangan rundingan dagang di mana Washington dan Beijing akan menyambung perbincangan mereka pada persidangan pemimpin negara G20 di Jepun.

Dagangan Loonie juga menurun pada penghujung minggu lalu selepas data jualan runcit Kanada mencatatkan bacaan yang lebih rendah berbanding jangkaan penurunan oleh pasaran.

Matawang komoditi dolar Australia sedikit meningkat selepas Gabenor bank pusat Australia, Philip Lowe mempersoalkan keberkesanan pelonggaran dasar monetari untuk meningkatkan kembali pertumbuhan ekonomi. Ini memberikan sedikit isyarat kebarangkalian untuk bank pusat mempertimbangkan kembali tindakan penurunan kadar.

Beralih pada matawang Pound Sterling, matawang British tersebut menyusut ke paras terendah lima bulan berbanding Euro selepas Boris Johnson semakin hampir disahkan sebagai pemimpin menggantikan Theresa May yang melepaskan jawatan beliau berikutan siri kegagalan mendapat sokongan untuk pelan pengunduran Brexit sebelum ini.

Pelabur gelisah kerajaan akan berdepan situasi pengunduran Britain tanpa sebarang perjanjian bersama Kesatuan Eropah. Namun, penurunan pada dagangan Sterling sedikit disokong kembali selepas Bank of England (BOE) menyampaikan mesej bahawa kadar faedah perlu dinaikkan.

Selepas berakhir minggu pengumuman kadar oleh beberapa bank pusat utama, pedagang matawang GBP akan kembali menumpukan perhatian terhadap isu politik di Britain dan pemilihan kepimpinan Parti Konservatif yang baru.

Boris Johnson yang menjadi calon utama akan berdepan cabaran dari Menteri Luar, Jeremy Hunt dan penentuan pemimpin yang baru akan ditentukan oleh undian ahli-ahli parti serta keputusan dijadualkan diumumkan pada bulan hadapan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat