Pernah Alami Anxiety Jadi Pendorong Kerjaya Sebagai Pakar Psikologi

208

Pengalamannya berdepan masalah kebimbangan melampau (anxiety) yang teruk membuatkan wanita muda ini tekad untuk menyambung pelajaran dalam jurusan Sains Psikologi sehingga ke United Kingdom (UK) bagi merealisasikan impiannya bergelar seorang ahli psikologi.

Wanita tersebut, Nurul Amira Aisya menyatakan hanya ilmu sahaja yang boleh membantu beliau untuk keluar daripada terus dibelenggu masalah berkenaan.

“Saya mengalami masalah tersebut sejak berusia 19 tahun dan saya tahu tiada siapa yang boleh tolong saya melainkan diri saya sendiri.

“Sebelum ini, saya meminati bidang kewartawanan namun semakin lama mengenali diri sendiri, saya lebih berminat untuk menjadi ahli psikologi,” katanya ketika ditemuramah oleh wartawan Intraday baru-baru ini.

Ujar Nurul Amira, niat utamanya adalah untuk membantu rakyat Malaysia yang mengalami masalah sepertinya.

“Saya tahu apa perasannya apabila mempunyai anxiety itu. Mereka yang  mempunyai anxiety, sering kali mempunyai rasa seperti ingin mati, kehidupan harian terganggu dan tidak boleh membuat sebarang kerja langsung,” menurut beliau lagi.

Tambah wanita berkenaan, meskipun beliau penat seharian bekerja namun dirinya berasa puas kerana dapat menolong golongan yang senasib dengannya. Jelasnya lagi, beliau mahu membantu rakyat Malaysia untuk mencapai keperibadian yang lebih baik dan bersikap positif dari segi mentaliti.

“Secara umumnya, saya duduk serta belajar di UK selama lima tahun, setiap hari saya lihat cara kehidupan mereka dan apa yang boleh saya katakan, mentaliti rakyat Malaysia masih 15 tahun ke belakang berbanding mereka,” katanya.

Nurul Amira menyatakan beliau ketika ini lebih senang bergerak secara sendirian dan masih belum ada perancangan untuk membuka cawangan di tempat lain. Jelasnya, beliau mahu memfokuskan kepada pusat psikologinya yang baru sahaja beroperasi sebelum memikirkan langkah seterusnya.

Sebelum mengakhiri temuramah itu, beliau sempat memberi nasihat kepada rakyat negara ini sering berjumpa doktor sekiranya mendapati diri anda mengalami kesihatan mental.

“Kesihatan mental adalah sangat penting. Walaupun anda sukar untuk tidur malam, itu pun dikira sebagai masalah mental. Jadi selalulah berjumpa doktor,” tuntas Nurul Amira.

 

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat