Peroleh AS$141.5 juta Menerusi Permua Dalam Tempoh Seminggu!

1,141

Sepasang kembar Jepun berjaya menjadi jutawan selepas menyenaraikan syarikat permainan mudah alih (permua) mereka dalam pasaran saham.

Pegangan saham Anna dan Mizuki Nakajima dalam firma yang diasaskan oleh mereka iaitu Coly bernilai kira-kira AS$141.5 juta ketika dilancarkan minggu lalu.

Firma berkenaan menghasilkan permua berasaskan kartun anime yang disasarkan untuk wanita dan hampir tiga perempat daripada 200 pekerjanya adalah wanita.

Genre utama syarikat terbabit adalah ‘otome’ atau wanita dalam bahasa Jepun.

Antara permua yang dihasilkan oleh Coly termasuklah Stand My Heroes dan Promise of Wizard. Permua tersebut boleh dimuat turun secara percuma tetapi pemain boleh melakukan pembayaran untuk mendedahkan jalan cerita tambahan dalam permua tersebut.

Ujar Coly, saiz pasaran Jepun untuk permua yang dikhususkan untuk wanita meningkat daripada 70 bilion hingga 80 bilion yen daripada 2019 hingga 2020.

Menurut penganalisis di syarikat perunding permainan, Kantan Games iaitu Serkan Toto, pengikut otome cenderung untuk setia dan suka bermain dengan judul permua tertentu untuk jangka masa yang lama.

Tambah Toto, kurang daripada 5% syarikat perisian di Jepun diketuai oleh wanita dan langkah pasangan kembar Nakajima merupakan sesuatu yang luar biasa.

“Pasangan kembar Nakajima melakukan usaha yang luar biasa sehingga syarikat mereka berkembang pesat dalam industri yang kompetitif,” ujarnya.

Dalam pada itu, pakar perniagaan mengatakan bahawa tidak mudah untuk golongan wanita menembusi dunia perniagaan di Jepun dan perlu berdepan cabaran yang enggan dilalui oleh kaum lelaki dalam situasi yang sama.

“Syarikat itu tidak pernah mengambil wang modal teroka (venture capital), yang pastinya merupakan jalan lebih mudah untuk dilalui di Jepun bagi golongan lelaki,” kata Toto.

Populariti anime telah berkembang selama bertahun-tahun terutamanya di Amerika Syarikat (AS), China dan Korea Selatan.

Laporan oleh syarikat perunding AS, Grand View Research menilai pasaran anime pada AS$20.5 bilion dan meramalkan pertumbuhannya sebanyak 9% setahun sehingga 2025.

Selain itu, Netflix memaklumkan lebih daripada 100 juta isi rumah di seluruh dunia menyaksikan sekurang-kurangnya satu anime menerusi platformnya antara Oktober 2019 dan September 2020 iaitu peningkatan sebanyak lebih 50%.

Laman-laman penstriman telah menandatangani pelbagai perjanjian dengan syarikat penerbit untuk menghasilkan anime.

Sony juga menjadi penyumbang terbesar kandungan anime dan keuntungan tahunannya didorong oleh kejayaan filem anime Demon Slayer.

Filem berkenaan menjadi filem terpantas dalam sejarah pawagam Jepun tahun lalu yang berjaya memperoleh kutipan sebanyak 10 bilion yen dalam tempoh 10 hari sahaja.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat