Pertumbuhan GDP UK Catat Penguncupan Terbesar Sejak Tahun 2018 Pada November!

0 143

Ekonomi UK secara tidak diduga dilaporkan menguncup pada bulan November menjelang pilihan raya umum dan hal ini secara tidak langsung telah menambah keraguan pasaran sama ada terdapat sebarang pertumbuhan pada suku keempat atau tidak.

Laporan angka ini semakin menambah kebimbangan Bank Pusat England (BoE), dimana para penggubal polisi berkemungkinan akan mempertimbangankan rangsangan monetari lanjutan jika ekonomi terus berada dalam keadaan lemah.

Kadar keluaran dalam negara kasar (GDP) UK jatuh sebanyak 0.3% pada bulan November sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Negara pada hari Isnin. Bacaan ini jauh tersasar daripada sasaran yang dijangkakan oleh pakar Ekonomi,dimana ahli ekonomi menjangkakan pertumbuhan GDP tidak berubah pada bulan November. Secara tamsilnya, UK harus mencatat pertumbuhan 0.1% sehingga 0.2% bagi mengelakkan ekonomi daripada mencatat penguncupan pada suku keempat.

Pasaran lebih cenderung untuk bertaruh kepada pengurangan kadar faedah dalam masa terdekat setelah gabenor BoE, Mark Carney menyatakan bahawa masih terdapat ruang untuk bertindak jika perlu dan dalam masa yang sama penggubal polisi Silvana Tenreyro dan Gertjan Vlieghe menyatakan mereka mungkin berpihak kepada pihak yang menyokong pengurangan kos pinjaman.

Penguncupan pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.3% merupakan penguncupan terbesar sejak awal tahun 2018. Secara keseluruhan ekonomi bertumbuh sebanyak 0.6% setahun pada bulan November.

UK dijangka akan meninggalkan Kesatuan Eropah pada akhir bulan ini dan ketika ini banyak pihak sangsi adakah Boris Johnson mampu melunaskan janji-janji beliau dalam mencapai kesepakatan perdagangan dengan blok Eropah pada akhir tahun ini ataupun tidak.

Anda mungkin juga berminat