Pesawat Boeing 737 Ukraine Terhempas, Adakah Berkait Dengan Konflik AS-Iran?

3,401

Sebuah pesawat Boeing 737 milik Ukraine International Airlines yang membawa sekurang-kurangnya 170 penumpang dilaporkan terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini di Tehran pada awal pagi Rabu, waktu tempatan.

Punca sebenar insiden itu masih belum diketahui, namun agensi berita Iran melaporkan punca yang menyebabkan pesawat tersebut terhempas adalah disebabkan masalah teknikal. Bagaimanapun, tiada perincian lanjut mengenainya diberikan.

Pegawai kementerian luar negeri Ukraine di Kiev, memberitahu bahawa semua penumpang dan anak kapal telah terkorban.

Boeing mengeluarkan kenyataan ringkas dan akan mengumpul lebih banyak maklumat mengenai perkara tersebut.

Petunjuk awal mencadangkan nahas tersebut kelihatan tidak mempunyai kaitan dengan serangan peluru berpandu oleh Iran ke pangkalan udara di Iraq yang menempatkan tentera Amerika Syarikat pada awal pagi tadi.

Nahas ini berlaku hanya beberapa hari sebelum Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, David Calhoun menjawat jawatan tersebut secara rasmi. Beliau akan menggantikan Dennis Muilenburg yang dipecat Disember lalu berikutan kegagalannya menguruskan isu pesawat Boeing 737 MAX.

Insiden ini sudah semestinya mengingatkan kembali kepada peristiwa pesawat MH17 milik Malaysia yang ditembak jatuh pada tahun 2014 ketika melalui ruang udara di timur Ukraine sehingga mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapal.

Susulan daripada insiden itu, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk pesawat Malaysia Airlines (MAS) dilaporkan mengubah laluan pesawat penerbangan agar tidak melalui ruang udara Iraq dan Iran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat