Petanda Ekonomi Makin Pulih, Malaysia ‘Terima Semula’ Pelaburan Asing

487

Para pelabur asing kembali ‘mewarnai’ pasaran saham apabila menjadi pembeli bersih saham tempatan di Bursa Malaysia bernilai RM70.91 juta minggu lalu, berbanding aliran keluar bersih sebanyak RM589.38 juta pada minggu pertama bulan ini.

MIDF Research menerusi laporan aliran dana mingguannya sebagai berkata, ia adalah aliran masuk bersih pertama pada bulan ini.

“Apabila digabungkan, pelabur asing adalah penjual asing bersih saham tempatan bernilai RM518.47 juta bagi dua minggu pertama bulan ini.

“Sementara itu, pelabur runcit merupakan pembeli bersih ekuiti tempatan bernilai RM456.61 juta pada minggu lalu manakala institusi tempatan melakukan penjualan bersih sebanyak RM527.51 juta ketika tempoh yang sama,” ujar laporan tersebut.

Tambah laporan itu, ketika pasaran dibuka pada Isnin minggu lalu, pelabur asing menjual saham tempatan bernilai RM72.5 juta manakala pelabur runcit dan institusi tempatan adalah pembeli bersih saham berjumlah RM68.91 juta dan RM3.54 juta.

“Urusan penjualan dalam kalangan pelabur asing berlaku pada Isnin dan Selasa sahaja sebanyak RM72.45 juta serta RM11.52 juta sebelum momentum pembelian bermula pada Rabu.

“Aliran masuk bersih terbesar berlaku pada Khamis sebanyak RM94.81 juta dan paling terkecil adalah pada Jumaat lalu sebanyak RM1.33 juta,” menurut laporan berkenaan.

MIDF turut memaklumkan minggu lalu merupakan minggu ke-10 berturut-turut pelabur runcit tempatan menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia bernilai RM5.03 bilion, berbanding institusi tempatan dan pelabur asing yang menjadi penjual bersih masing-masing sebanyak RM707.4 juta dan RM4.02 bilion sejak awal Julai lalu.

Jelas MIDF lagi, jualan bersih pelabur asing berjumlah RM20.87 bilion ekuiti di Bursa Malaysia setakat tahun ini.

Bagi pemain pasaran tempatan, MIDF berkata institusi tempatan dan pelabur runcit merupakan pembeli bersih masing-masing berjumlah RM10.88 bilion dan RM9.61 bilion.

“Sebagai perbandingan kepada tiga pasaran Asia Tenggara lain yang kami teliti pada minggu lalu, Filipina mencatatkan aliran keluar bersih asing yang terendah manakala Indonesia merekodkan aliran keluar bersih terbesar berbanding negara lain,” kata laporan itu.

MIDF berkata, dari segi penyertaan di Bursa Malaysia, pelabur runcit mencatatkan kenaikan mingguan sebanyak 21.28 peratus dari segi nilai dagangan purata harian (ADTV), manakala pelabur asing merekodkan penurunan ADTV sebanyak 14 peratus.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat