Petronas Kalah Dalam Tuntutan Hak Petroleum di Negeri Sarawak

2,278

Mungkin ramai yang masih belum maklum dengan krisis antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan juga kerajaan negeri Sarawak dalam isu aktiviti petroleum di negeri itu.

Krisis bermula apabila kerajaan negeri Sarawak melalui bekas Ketua Menteri Adenan Satem memulakan usaha untuk mendapatkan semula hak rakyat negeri itu terutamanya dalam aktiviti cari gali petroleum. Usaha berterusan dibuat sehingga tertubuhnya syarikat petroleum di bawah kerajaan negeri iaitu Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Untuk pengetahuan anda, dua negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak adalah penyumbang hasil petroleum terbesar negara dengan 64% daripada keseluruhan hasil petroleum di Malaysia. Hanya 36% sahaja hasil dari semenanjung Malaysia.

Kerajaan Negeri Menyedari Hak Sarawak Dalam Aktiviti Cari Gali Petroleum di Negeri Itu

Penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di bawah kerajaan negeri Sarawak adalah bagi memulakan usaha negeri itu untuk mula menjalankan cari gali petroleum di negerinya sendiri dan mengurangkan dominasi PETRONAS di negeri itu.

Selain itu, kerajaan negeri Sarawak di bawah Ketua Menteri Abang Johari juga menuntut royalti hasil petroleum daripada PETRONAS pada kadar 20% berbanding 5% yang dinikmati ketika ini.

Krisis bermula apabila kerajaan Sarawak memaklumkan PETRONAS supaya mendapatkan lesen jika mahu membangunkan lapangan minyak dan gas di negeri itu pada 13 April 2018 yang lalu.

Abang Johari berkata, “Syarikat terbabit atau mana-mana pihak perlu mematuhi syarat itu seperti yang termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 dan peraturan tersebut dikenakan ke atas semua syarikat minyak dan gas yang mahu beroperasi di negeri ini.”

“Mereka (syarikat cari gali) mempunyai kontrak antara mereka sebelum kita mengetahui kita ada hak ke atas pengeluaran minyak dan gas dalam Sarawak seperti termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak,” katanya pada 13 April yang lalu.

Petronas Tuntut Hak Cari Gali Petroleum di Negeri Sarawak

Sehubungan dengan arahan kerajaan negeri supaya syarikat cari gali mendapatkan lesen sebelum memulakan aktiviti cari gali, pihak PETRONAS telah mencabar tindakan itu di Mahkamah dengan mendakwa mereka tidak perlu memohon lesen tersebut.

PETRONAS menyatakan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 adalah tidak sah apabila mengambil kira Akta Malaysia 1963.

Hal ini berterusan sehinggalah pada 4 Jun 2018, di mana Petronas memfailkan permohonan terhadap Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, yang digubal oleh Parlimen dan bahawa PETRONAS memiliki kuasa regulatori ekslusif terhadap aktiviti huluan di seluruh Malaysia termasuk Sarawak.

Keputusan Mahkamah Persekutuan Pada 22 Jun 2018

Kejayaan untuk kerajaan negeri Sarawak, apabila Mahkamah Persekutuan hari ini membuat keputusan untuk mengetepikan permohonan PETRONAS berhubung semakan statusnya dalam Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Sharifah Hasidah Menteri Muda Undang-Undang Sarawak berkata, keputusan tersebut memberi kemenangan kepada Sarawak dan kebenaran telah berjaya ditegakkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat