Pihak Akhbar Malaysia Tuntut Keuntungan Daripada Google & Facebook

908

Penerbit akhbar Malaysia akhirnya tampil bersatu dalam usaha menggesa syarikat Google dan Facebook untuk berkongsi sebahagian besar perolehan hasil pengiklanan yang mereka berjaya kumpul menerusi kandungan media tempatan.

Menurut Pengerusi Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA), Mustapha Kamil Mohd Janor, tindakan itu diambil setelah menyedari kepentingan keputusan oleh kerajaan Australia baru-baru ini yang memaksa Google dan Facebook untuk berkongsi hasil iklan mereka dengan firma media tempatan.

Reuters pada minggu lalu melaporkan tindakan Bendahari Australia, Josh Frydenberg merupakan satu keputusan telus setelah perbincangan dengan Facebook dan Google gagal mencapai persetujuan daripada kedua-dua pihak.

MNPA ditubuhkan pada 1971 dan mewakili sebahagian besar penerbit akhbar di Malaysia termasuklah penerbitan New Straits Times, The Star, The Sun, Borneo Post, The Edge, Berita Harian, Sinar Harian, Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Siang Pau, Berita Harian Oriental, See Hua Daily News dan Makkal Osai.

Kecenderungan pembaca yang mula beralih kepada berita digital dalam talian menyebabkan penerbit akhbar di Malaysia menerima kerugian ketara sejak beberapa tahun lalu, sama seperti situasi yang dihadapi penerbit akhbar lain seluruh dunia.

Tidak dapat dinafikan majoriti akhbar tradisional sudah beralih kepada dunia digital sejak dahulu lagi, namun perolehan daripada berita yang disiarkan dalam talian terus dikuasai Google dan Facebook.

Dua syarikat teknologi besar dunia tersebut bertindak sebagai pengumpul kepada kebanyakkan berita yang dihasilkan oleh media tradisional, yang mana mereka bertanggungjawab dalam menanggung kos tenaga kerja dan kos lain dalam penghasilan berita.

Sudah lebih daripada 15 tahun pihak Google dan Facebook mengguna semula kandungan dicipta syarikat media tempatan bagi meraih keuntungan. Permintaan bahagian yang adil hasil iklan yang mereka perolehi menerusi kandungan media tempatan merupakan inisiatif yang perlu diambil kira memandangkan syarikat media tempatan kebanyakannya terpaksa mengecilkan operasi dan memberhentikan pekerja untuk kekal bertahan.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat