Pilihan Raya UK : Berjayakah PM Johnson Meraih Kemenangan Majoriti?

613

Undian daripada penduduk Britain pada hari ini akan menentukan sama ada Brexit akan diselesaikan pada tarikh akhir yang telah ditetapkan di bawah pimpinan Perdana Menteri UK Boris Johnson atau terdapat satu lagi referendum yang akan membawa kepada pembalikan undi Brexit 2016.

Keputusan terbaru ramalan oleh YouGov yang menggunakan model MRP, menunjukkan majoriti yang dijangka akan dimenangi oleh Parti Konservatif menurun kepada 28 kerusi daripada 68 kerusi yang diramalkan dua minggu lalu oleh model sama. Parti Buruh pula didapati mula merapatkan kedudukannya dengan Parti Konservatif.

YouGov juga tidak menolak kemungkinan terhadap berlakunya parlimen yang digantung (hung parliament), iaitu keadaan di mana tidak ada parti yang memenangi majoriti.

Model MRP merupakan teknik statistik yang digunakan untuk meramalkan keputusan pilihan raya. Ia dianggap sebagai paling dipercayai kerana sebelum ini, ia telah meramal keputusan pilihan raya 2017 dengan betul.

Parti Konservatif kini memerlukan kemenangan majoriti daripada 650 kerusi di parlimen bagi membolehkan PM Johnson mendapatkan kelulusan perjanjian Brexitnya melalui persetujuan parlimen untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Januari 2020.

PM Johnson memberitahu bahawa pemilihan hari ini merupakan peluang terakhir untuk menamatkan ketidakpastian dan kebuntuan politik yang dialami lebih daripada tiga tahun.

Pada hari pilihan raya umum diadakan, matawang pound diniagakan meningkat ke paras 9 bulan tertinggi berbanding US dolar, mencerminkan keyakinan pasaran yang tinggi terhadap kemenangan majoriti Parti Konservatif.

Sejak bulan September, matawang pound dilihat telah meningkat sebanyak 10%, disokong oleh keyakinan untuk menamatkan kebuntuan Brexit yang telah banyak menjejaskan pertumbuhan ekonomi UK.

Pergerakan matawang pound kini adalah bergantung kepada saiz majoriti yang diraih daripada undian. Pasaran menjangkakan pound akan meningkat sekiranya Parti Konservatif meraih kemenangan majoriti besar dan akan menyusut jika peroleh majoriti kecil atau parlimen digantung.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat