PKP Fasa 4: Malaysia Berada Dalam Tempoh Pemulihan!

474

Tanpa kita sedari, Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sudah pun memasuki fasa yang keempat sejak dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. Tindakan proaktif daripada pihak kerajaan ini dilihat membuahkan hasil serta mencatatkan perkembangan positif dalam membendung penularan wabak COVID-19. Sehingga jam 12 tengah hari semalam, Malaysia berjaya mencatatkan jumlah kes positif terendah iaitu sebanyak 31. Selain itu, keluk pandemik tersebut didakwa telah berjaya diratakan.

Untuk pengetahuan semua, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mencatatkan bilangan pesakit sembuh tertinggi di seluruh dunia.

Oleh yang demikian, sektor ekonomi negara digalakkan untuk beroperasi semula tetapi perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Walau bagaimanapun, situasi semasa yang didakwa beransur pulih ini tidak bermakna rakyat sudah boleh menarik nafas lega atau tidak perlu lagi mematuhi PKP.

Jika berlaku pengingkaran terhadap perintah tersebut, hukuman yang sewajarnya bakal dikenakan. Jadi, pihak kerajaan memberi peringatan kepada rakyat Malaysia agar terus bersabar dan patuh kepada perintah tersebut. Walaupun terdapat sedikit kelonggaran telah diberikan, tetapi kita mestilah terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan diri, membasuh tangan dan mempraktikkan penjarakan sosial.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan tidak mampu untuk menghapuskan wabak pandemik ini sepenuhnya bahkan rakyat Malaysia perlu bersedia untuk menghadapinya dalam tempoh masa yang lebih panjang.

Kesimpulannya, kita masih belum menang. Patuhi PKP, amalkan setiap langkah pencegahan yang disarankan. Perjuangan kita menentang wabak COVID-19 ini belum menemui penamat.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat