Polis Pantau Penjualan Haram Vaksin Covid-19

167

Sebanyak dua laporan polis diterima berhubung penipuan penjualan vaksin Covid-19, membabitkan kerugian berjumlah RM285,499.

Bernama melaporkan, perkara berkenaan dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob.

Menurut beliau, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis mengesan terdapat penularan informasi di media sosial berkenaan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian dan pihak pengendalian perkhidmatan jualan tersebut telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan terdapatnya iklan itu.

“Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan wujudnya iklan-iklan palsu berhubung penjualan vaksin terbabit pada masa akan datang,” ujar beliau menerusi kenyataan semalam.

Tambah Zainuddin, pemberian vaksin Covid-19 akan dilaksanakan secara percuma kepada rakyat negara ini sebagaimana diumumkan oleh kerajaan dan justeru itu, sebarang tawaran penjualan vaksin oleh mana-mana pihak merupakan tindakan tidak bertanggungjawab selain berkemungkinan berunsurkan penipuan.

Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai agar selalu berwaspada dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan.

“Orang ramai turut dinasihatkan sering peka dengan pengumuman dan arahan yang dikeluarkan kerajaan dari masa ke semasa bagi memastikan maklumat tepat diperolehi berkaitan program vaksinasi tersebut,” jelas Zainuddin.

Ujar beliau, pihaknya komited dalam melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengesan atau membanteras mana-mana pihak yang cuba menjual vaksin secara haram menerusi dalam talian.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat