Powell Kembali Bersuara Mengenai ‘Tapering’! Apa Reaksi USD?

889

Raja matawang US dolar kembali mendapat sokongan selepas Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell mengatakan bahawa bank pusat AS berada di landasan untuk memulakan pengurangan pembelian bon.

Berucap di persidangan dalam talian yang dihoskan oleh Bank Pusat Afrika Selatan pada Jumaat, Powell turut menambah bahawa jika ekonomi berkembang seperti yang diharapkan Fed, pelaksanaan pengurangan ini akan selesai pada separuh tahun 2022.

Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa setelah pengurangan pembelian bon berakhir, ia tidak bermakna bank pusat akan terus menaikkan kadar faedah selepas itu.

Selain itu, Powell turut mengulas mengenai inflasi, di mana ia dijangka akan terus meningkat lebih tinggi hingga tahun berikutnya. Namun, Fed masih meramalkan ia akan turun ke sasarannya pada 2%.

Malah, beliau turut mengatakan sekiranya inflasi dilihat masih berterusan, Fed akan menggunakan alat monetari mereka untuk menstabilkannya.

Susulan daripada itu, dolar greenback memadamkan sebahagian daripada kerugiannya pada hari Jumaat, tetapi ia tetap ditutup merah dengan penyusutan 0.16%.

Pada sesi Asia, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama diperdagangkan stabil pada 93.63.

Sementara, indeks saham AS pula merosot susulan kenyataan Powell mengenai inflasi akan meningkat lebih tinggi dan lebih lama. S&P 500 berakhir dengan kerugian 0.11%, manakala NASDAQ pula hilang 0.82%.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat