Prestasi Lemah Wall Street Heret Bursa Malaysia

176

Dagangan di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini seiring dengan prestasi lemah semalaman di Wall Street.

Pada jam 9.08 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 2.73 mata kepada 1,528.9 daripada 1,531.63 ketika ditutup semalam.

Lapor Bernama, indeks utama dibuka 0.67 mata lebih rendah pada 1,530.96.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 209 berbalas 142 manakala 272 kaunter tidak berubah, 1,556 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 293.19 juta unit bernilai RM138.59 bilion.

Menurut Malacca Securities, dagangan di bursa tempatan akan lebih berwaspada memandangkan jumlah harian COVID-19 telah meningkat dengan ketara melepasi angka 7,000 semalam, walaupun kadar pemberian vaksin terus menunjukkan peningkatan.

Firma broker itu menambah pelabur juga mengambil sikap berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah oleh Bank Negara esok.

Sementara itu, harga minyak turun selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) gagal menyetujui dasar pengeluaran mereka.

Malacca Securities berpendapat bahawa lonjakan kes harian COVID-19 dapat mengalihkan tumpuan pelabur ke sektor sarung tangan dalam jangka pendek.

“Bagaimanapun, rancangan untuk mengadakan lebih 30 pusat vaksinasi berskala besar pada 19 Julai dapat mempercepat kadar vaksinasi, dan ini menguntungkan sektor tema pemulihan seperti saham pengguna penting.

“Sementara itu, saham teknologi masih berpeluang untuk meningkat lebih tinggi di tengah pergerakan positif Nasdaq,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, TNB naik satu sen kepada RM9.72, IHH Healthcare meningkat empat sen kepada RM5.60 dan Hong Leong Bank menambah lapan sen kepada RM18.80.

Sementara itu, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM8.10 dan RM8.09, Public Bank susut dua sen kepada RM4.08 dan Press Metal jatuh lapan sen kepada RM5.01.

Bagi saham aktif, AE Multi menokok satu sen kepada 5.5 sen, Kumpulan Jetson meningkat 3.5 sen kepada 50.5 sen, Serba Dinamik dan Metronic tidak berubah, masing-masing pada 51 sen dan 5.5 sen, sementara Privasia turun setengah sen kepada 25.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 19.99 mata pada 11,150.22, Indeks FBMT 100 menyusut 18.76 mata kepada 10,850.79, dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 24.28 mata kepada 12,184.85.

FBM ACE turun 17.05 mata kepada 7,402.2 dan FBM 70 mengecil 22.35 mata kepada 14,455.25.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 3.66 mata kepada 15,062.0, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.54 mata kepada 189.77 dan Indeks Perladangan 11.03 mata lebih rendah pada 6,377.33.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat