Tumpuan pasaran pada Rabu terarah kepada news besar dolar Kanada (CAD) pada pukul 10 malam. Bank of Canada (BoC) akan mengumumkan polisi monetarinya di mana tiada sebarang perubahan kepada polisi.
Namun, kenaikan CAD sejak dua minggu yang lepas menunjukkan terdapat sentimen positif terhadap penetapan polisi kali ini. Dengan jangkaan tiada perubahan polisi, pasaran menjangka akan ada komen positif oleh bank pusat.
Dalam mesyuarat terakhir BoC enam minggu yang lalu, bank pusat mengemukakan kebimbangan terhadap kadar gaji yang rendah dan paras hutang isirumah yang tinggi.
Sejak mesyuarat itu juga, harga minyak mentah membuat kenaikan, kadar pengangguran berkurangan, pekerjaan meningkat, aktiviti sektor pembuatan berkembang dan akhir sekali bacaan inflasi membuat kenaikan.
Dari segi perjanjian NAFTA, kedua-dua negara Amerika Syarikat dan Kanada semakin hampir untuk mencapai kata sepakat dalam rundingan semula perjanjian tersebut.
Dengan perkembangan terkini, tidak banyak yang perlu dibimbangi oleh bank pusat dalam tempoh enam minggu yang lepas. Dalam laporan tinjauan eksekutif oleh BoC, jangkaan terhadap jualan di masa hadapan semakin meningkat dengan syarikat terus menunjukkan jualan, kapasiti, dan komponen pekerjaan yang memberangsangkan.
Apa Tumpuan Pasaran?
Pasaran mahu melihat komen-komen positif oleh Bank of Canada khususnya dalam sidang media Gabenor Poloz. Jika ia tidak menepati apa yang dijangka oleh pasaran, kita mungkin akan melihat CAD jatuh pada malam ini.
CAD juga bakal jatuh jika BoC dilihat kekal berhati-hati seperti dalam mesyuarat sebelum ini dan tidak menunjukkan isyarat tentang kenaikan kadar faedah dalam masa terdekat.