Preview News Besar NFP Malam Ini : Ini Jangkaan Terhadap Pergerakan US Dollar

1,797

Data pekerjaan bulanan Amerika Syarikat akan menjadi tumpuan utama di tengah-tengah dagangan pada hari Jumaat. Data akan dikeluarkan pada pukul 8.30 malam.

Ada tiga data pekerjaan yang akan dikeluarkan pada malam ini iaitu Average hourly earnings (kadar gaji), Non-Farm employment change (perubahan jumlah pekerjaan) dan Unemployment rate (kadar pengangguran).

Sejak akhir-akhir ini, data pendapatan (earnings) menjadi semakin penting kerana kebimbangan pasaran terhadap kenaikan kadar inflasi.

Berikut merupakan jangkaan pasaran bagi data-data kali ini:
  • Average hourly earnings dijangka meningkat kepada 0.2% berbanding dengan data sebelum ini yang meningkat 0.3%.
  • 190,000 pekerjaan baru dijangka akan bertambah pada April 2018 berbanding tambahan 103,000 pekerjaan pada bulan Mac.
  • Kadar pengangguran dijangka berkurangan kepada 4.0% dari 4.1%.

Ada beberapa petunjuk yang boleh dipertimbangkan sebagai gambaran kepada data sebenar ketiga-tiga data pekerjaan malam ini. Antaranya adalah:

ISM manufacturing PMI

Data ini lebih mudah disebut sebagai indeks sektor pembuatan Amerika Syarikat yang mengukur aktiviti ekonomi dalam sektor pembuatan US. Bacaan indeks pembuatan untuk bulan lalu merosot kepada 57.3 berbanding sebelum ini 59.3. Bacaan komponen dalam indeks ini yang perlu diberi perhatian adalah indeks pekerjaan (employment index) yang meleset kepada 54.2 berbanding 57.3 sebelum ini.

ISM non-manufacturing PMI

Ini adalah indeks sektor perkhidmatan di Amerika Syarikat yang mewakili sejumlah besar aktiviti ekonomi secara keseluruhan di negara ini. Oleh itu, data ini lebih penting berbanding dengan data ISM manufacturing PMI. Bacaan terkini indeks meleset kepada 56.8 daripada 58.6 sebelum ini. Indeks pekerjaan sektor ini pula meningkat kepada 53.6 berbanding 56.6 sebelum ini.

ADP-NFP

ADP non-farm payroll ialah data yang menunjukkan perubahan tenaga kerja AS yang hanya melibatkan sektor swasta. Data ini dikeluarkan oleh ADP (Automatic Data Processing, Inc). Manakala data NFP malam ini dikeluarkan sendiri oleh Jabatan Buruh AS yang mengira perubahan tenaga kerja dalam sektor kerajaan dan swasta.

Data ADP pada Rabu merekodkan tambahan 204,000 pekerjaan lebih daripada jangkaan pasaran 200,000.

Namun, harus diingat data ADP-NFP untuk bulan-bulan yang lalu juga seringkali menunjukkan bacaan yang tidak sejajar dengan bacaan NFP. Sebab itu, sebagai retail-trader (pedagang runcit) kita tidak boleh terlalu bergantung kepada bacaan-bacaan petunjuk seperti ADP-NFP untuk meramalkan NFP.

Kesan kepada US Dolar

Pasaran akan meneliti bacaan Average Hourly Earnings atau secara mudahnya ‘kadar gaji’. Dengan pasaran menjangka kenaikan kadar gaji 0.2%, ia akan memberi kesan negatif kepada US dolar jika data sebenar malam ini meleset daripada angka itu.

Untuk melihat kesan data ini kepada US dolar, kita perlu melihat bagaimana data malam ini boleh memberi kesan kepada polisi monetari The Fed. Dengan jangkaan dua lagi kenaikan kadar faedah tahun ini, data proksi kepada inflasi iaitu Average Hourly Earnings akan menjadi tumpuan pasaran.

Tumpuan The Fed ketika ini adalah data inflasi dengan andaian bahawa pasaran pekerjaan kekal kukuh. Dengan unjuran tiga kali kenaikan kadar faedah tahun ini, ahli The Fed perlu melihat tren inflasi di Amerika Syarikat bagi menyokong unjuran tersebut. Oleh itu, Average Hourly Earnings adalah fokus pasaran malam ini.

4 Senario yang mungkin terjadi kepada USD/JPY

Walaupun dengan tambahan pekerjaan yang positif berbanding jangkaan, namun jika data gaji ini meleset, ia akan menyebabkan kenaikan awal US dolar tidak kekal lama.

Dengan jangkaan data NFP sebanyak 190,000 pekerjaan, bacaan dalam julat 175,000 sehingga 200,000 dilihat tidak banyak memberi kesan kepada kelemahan US dolar dengan andaian ceteris-paribus (pembolehubah lain tidak berubah).

Pertama (USD/JPY Naik): Jika data pekerjaan melebihi 190,000 dan data kadar gaji melebihi jangkaan 0.2% atau naik lebih daripada itu, pasaran dijangka akan melihat pengukuhan US dolar secara mendadak.

Kedua (USD/JPY Jatuh): Jika data pekerjaan meleset jauh daripada 190,000 contohnya dengan bacaan 150,000 dengan kombinasi kadar gaji yang hanya merekod kenaikan 0.1% atau kurang daripada itu, kita akan melihat junaman USD/JPY sejurus data dikeluarkan.

Ketiga (USD/JPY spike ke atas kemudian Bearish): Jika data pekerjaan melebihi 190,000 tetapi dengan data gaji meleset daripada jangkaan 0.2%, contohnya hanya merekodkan kenaikan 0.1%. Sebarang spike ke atas oleh USD/JPY akan diikuti dengan kejatuhan selepas itu.

Keempat (USD/JPY spike ke bawah kemudian Bullish): Jika data pekerjaan kurang daripada 190,000 lebih-lebih lagi di bawah 150,000 dengan kombinasi data gaji lebih daripada 0.2%. Sebarang spike ke bawah akan diikuti dengan kenaikan selepas itu.

 

Nak belajar analisis Fundamental? Klik sini
Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat